PAS Tiada Kena Mengena, Tiada Agihan Kerusi Untuknya – DAP


ALOR SETAR – DAP menegaskan bahawa PAS kini telah tersingkir dari senarai agihan kerusi dan sudah tidak ada kena mengena dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP serta sekutu rapatnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke berkata setakat ini Pakatan Harapan dan PPBM tidak mempunyai sebarang persefahaman dengan PAS.

"PAS tidak ada kena mengena dengan kami, jadi kami tidak mempunyai apa-apa persefahaman, (kami) tidak memperuntukkan kerusi untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut ahli Parlimen Seremban itu lagi, setakat ini masih belum ada sebarang persetujuan untuk menolak dan meminggirkan kerusi yang dimenangi dan ditandingi PAS pada pilihan raya umum lalu.

Ini bermakna besar kemungkinan Pakatan Harapan dan PPBM akan tetap bertanding di kerusi PAS dan mewujudkan pertandingan tiga penjuru.

Ujar Loke, pakatan pembangkang akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan mengenai agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang diadakan di ibu pejabat Parti Amanah Negara (PAN) di Kuala Lumpur.

Menurut Loke, mesyuarat tersebut akan memperincikan mengenai agihan kerusi dan akan menyenaraikan kerusi yang mahu ditandingi.

"Kami telah berbincang (mengenai agihan kerusi) sebelum ini, tetapi ini kali pertama kami akan memperincikannya," jelasnya.

Pada pilihan raya lalu, PAS telah bertanding 73 daripada 222 kerusi Parlimen dan 236 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri, PAS hanya memenangi 21 kerusi Parlimen tetapi tujuh ahli Parlimennya keluar parti berikutan pembentukan PAN. -Kedahnews.com