Patuhi Etika, Gunakan Saluran Yang Betul Atau Berdepan Risiko Dipecat - KSN


ALOR SETAR - Kerajaan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati menyebarkan berita yang menjejaskan reputasi perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berhak untuk memecat mana-mana penjawat awam, termasuk mereka yang sudah bersara, sekiranya didapati menyebarkan berita yang menjejaskan Kerajaan Malaysia.

"Saya nasihatkan semua penjawat awam supaya tidak terbabit dalam menyebarkan apa-apa yang membuat komen yang boleh ditafsirkan di bawah Perintah Am sebagai mencemar imej perkhidmatan awam atau menyalahi Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya dalam ucapan ketika melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, semalam.

Tegas beliau, tidak dinafikan bahawa terdapat ketidakpuasan hati di kalangan penjawat awam, namun mereka sepatutnya meluahkan menerusi saluran betul.

Kata Ali lagi, mereka yang mahu terang-terangan menentang kerajaan perlu mengambil jalan keluar dengan cara lebih "terhormat" dengan membuat keputusan untuk meletak jawatan dari sektora awam.

"Ini fasal etika, dan etika itu yang diharap daripada penjawat awam. Jika anda rasa mahu buat perkara yang anti golongan berkuasa, maka jadi orang budiman dengan serahkan surat peletakan jawatan.

“Biarkan mereka yang menyokong kerajaan dan bersyukur dengan peluang diberi untuk mengambil alih tempat anda," ujar beliau, mengingatkan penjawat awam tentang ikrar penjawat awam yang dipersetujui ketika mula menyertai sektor kerajaan.

Selain, itu, beliau turut menggalakkan para penjawat awam untuk belajar membezakan antara berita palsu dan benar yang tersebar di media sosial.

"Saya pasti ramai antara kamu ada Facebook, Twitter atau Instagram dan anda perlu bijak dalam penggunaan media sosial serta perlu celik media sosial untuk mengelak daripada menyebarkan berita palsu," tegas beliau lagi. -Kedahnews.com