Pegawai JKR Kedah Bebas Dengan Jaminan RM100,000 - SPRM


ALOR SETAR - Penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah yang ditahan susulan kes rasuah dianggar membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM3 juta dibebaskan dengan jaminan RM100,000 kelmarin.

Suspek, 56, yang bertugas di pejabat JKR Kuala Muda/Sik sebelum ini, dibebaskan tengah hari semalam iaitu sehari sebelum tempoh tahanan remannya dijadual tamat semalam.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun tidak mengulas lanjut.

Bagaimanapun sumber SPRM mengesahkan suspek dibebaskan sementara hingga 13 Februari ini, sementara menunggu pihaknya melengkapkan siasatan.

SPRM sebelum ini dilapor menahan seorang penolong jurutera kanan JKR di Kedah selepas disyaki menyalahguna kuasa dan meminta rasuah khususnya membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Susulan penahanan itu, SPRM menemui wang tunai kira-kira RM1.1 juta yang disembunyikan di dalam dinding rumah suspek di sini, selain aset Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM600,000 milik suspek dan isteri dibekukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sumber: Berita Harian