ALOR SETAR - Yang Dipertua Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah, di sini tampil menjelaskan isu seorang pelajar yang mendakwa dipukul guru disiplin sekolah berkenaan pada 8 Februari lalu.
Mohd Najib Abu Bakar berkata, beliau mewakili sekolah terbabit menafikan guru disiplin telah mencekik, menumbuk dan menendang seorang pelajar tingkatan empat yang tidak berpakaian kemas ketika datang ke sekolah.
“Suatu mesyuarat muafakat diadakan 13 Februari lalu yang berlangsung selama tiga jam untuk mencari perdamaian antara ibu-bapa dan pihak sekolah.
“Dalam mesyuarat terbabit semua pihak diberi peluang untuk bercakap dan menjelaskan keadaan sebenar malah pelajar itu turut mengakui diluku di dahi kerana memberontak apabila ditegur tetapi tidak ditumbuk dan ditendang seperti didakwa sebelum ini," katanya.
Menurutnya, guru itu bertindak demikian disebabkan pelajar berkenaan tidak memasukkan bajunya ke dalam seluar dengan kemas dan tidak menghormatinya sebagai guru.
“Keadaan itu menyebabkan guru berkenaan mencekik bajunya sebelum berkata “hang tak kenal kah aku sapa” (bermaksud hang tidak kenal aku cikgu?),
“Sebelum pelajar itu menyedari tindakannya dan memohon maaf dengan mencium tangan cikgu itu sebelum beredar,”katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohd Najib selepas mesyuarat itu diadakan, bapa mangsa masih bertegas untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap guru berkenaan.
“Itu hak dia dan kita hormati keputusannya, malah sekiranya cikgu berkenaan didapati bersalah kementerian akan ambil tindakan, dan apa yang penting kita dapat menilai siapa yang benar dan yang salah.
“Tetapi saya cadangkan tindakan undang-undang tidak diteruskan kerana ia akan memberi kesan kepada pelajar berkenaan untuk proses mahkamah dan sebagainya.
“Pihak sekolah juga tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pelajar dan guru terbabit bagi memastikan ia tidak berpanjangan dan dapat belajar di sekolah ini seperti biasa,” katanya.
Mohd Najib berkata, tujuannya mengadakan sidang media semalam adalah untuk membersihkan nama sekolah yang tercalar dan semua pihak dapat mengambil iktibar agar tidak berulang lagi di masa hadapan.
“Saya yakin pelajar itu akan berubah suatu hari nanti walaupun mempunyai banyak masalah disiplin sebelum ini,”katanya.
Sebelum ini, seorang pelajar seorang pelajar tingkatan empat mendakwa dicekak, ditumbuk di belakang kepala, dan ditendang seorang guru disiplin di hadapan pintu pagar sekolah kerana dikatakan tidak berpakaian kemas.
Susulan itu, bapanya yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru disiplin berkenaan bertindak membuat satu laporan polis kerana dikatakan mencederakan anaknya.
Sumber: Sinar Harian