PELAJAR rambut perang yang didakwa salah seorang suspek kes buli pelajar tingkatan satu di SMK Bandar Sri Damansara 2, menafikan dirinya memijak kepala mangsa sehingga ‘berlubang’ dalam kejadian dilaporkan pada 23 Februari lalu.
Menerusi sepucuk surat laporan yang dibuat di Balai Polis Bandar Sri Damansara, remaja itu mendakwa dia tidak memijak kepala mangsa, Puteri Aleesya Maisarah Mohd Shukri, 13, sebaliknya rakannya yang berbuat demikian.
“Saya dapati beberapa kecaman yang dibuat terhadap diri saya dan juga ibu saya, sedangkan yang memijak pelajar perempuan (mangsa) adalah bukan saya tetapi rakan saya yang bernama Nurul Huda,” katanya memetik laporan polis yang dibuatnya pada 24 Februari lalu.
Tambah remaja itu, dia mendakwa rakannya telah membuat pengakuan di hadapan guru sekolah berkenaan.
Menurutnya, dia membuat laporan polis ekoran tidak berpuas hati dan rasa terancam dengan segelintir netizen yang mengecam dia dan ibunya setelah gambar mereka menjadi tular di laman sosial.
Sebelum ini, ibu suspek ada memuat naik kenyataan mengatakan anaknya tidak bersalah dan hanya ‘tarik hidung mangsa sahaja‘. Bagaimanapun, semakan di laman Facebook mendapati kenyataan tersebut telah dipadamkan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Shukri Sulaiman, 42, akan tetap mengambil tindakan undang-undang terhadap enam pelajar yang terlibat mencederakan anak perempuannya itu.
Menceritakan semula kejadian itu, Puteri Aleesya Maisarah berkata dia mengenali pelajar tingkatan tiga yang terlibat, namun tidak berkawan dengan mereka.
“Saya keluar kelas selepas waktu sekolah tamat untuk sertai aktiviti mengecat sekolah sebelum dua pelajar perempuan tingkatan tiga itu menarik saya masuk ke dalam sebuah kelas tingkatan dua. Mereka kemudian menarik tudung saya dan membelasah saya sehingga pengsan.
“Saya tidak tahu apa motif saya dibelasah kerana saya tidak berdendam dengan sesiapa di sekolah,” katanya.
Difahamkan, Aleesya kini sudah semakin pulih namun masih menerima rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh. –Kedahnews.com