Pembangkang Takkan Dapat Tawan Putrajaya Tanpa PAS - Mustafa Ali


ALOR SETAR - Gabungan parti-parti pembangkang di negara ini tidak akan berjaya menawan Putrajaya sekirnya mereka tidak mendapat sebarang kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan statistik peratusan sokongan PAS yang beliau peroleh, PAS mempunyai kekuatan akar umbinya antara 40 hingga 45 peratus di negara ini.

“PAS boleh menang tetapi tidak banyaklah, sebab itu kita perlu juga pada nilai tambah. Jika kita ada 45 peratus, perlu lagi tujuh peratus untuk mengalahkan UMNO.

“Dalam politik Malaysia, untuk mengalahkan BN dan menawan Putrajaya tidak ada pembangkang boleh menang untuk tawan Putrajaya tanpa PAS,” tegasnya ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-14, PAS Kawasan Kuala Nerus di Dewan Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, baru-baru ini.

Justeru itu, katanya PAS hanya memerlukan lonjakan tujuh peratus sokongan dalam pilihan raya bagi menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Memetik laporan lidah rasmi PAS, Harakahdaily, Mustafa menjelaskan semua pihak harus menerima hakikat bahawa senario politik dalam negara ini yang menjadi pemerintah adalah Barisan Nasional (BN) yang bertunjangkan kekuatan UMNO.

Katanya, semua parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan telah kalah ekoran tidak mendapat sokongan, namun BN masih mampu bertahan kerana kekuatan UMNO.

“Parti yang boleh kalahkan UMNO bukan DAP, tetapi kombinasi PAS dengan PPBM atau PKR yang kuat.

“Faktor lain yang paling besar ialah sokongan rakyat kepada kita itu besar. Jika sokongan rakyat tidak kuat, kita jentera kuat mana sekali pun pada adatnya payah menang.

“Tapi, jika sokongan ‘power base’ itu sudah ada dengan jentera yang ada kita akan mencapai kemenangan,” ujarnya lagi. - Kedahnews.com