Penduduk Kampung Bukit Besi Temangan Hidup Terseksa – PAN Kelantan


KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Bukit Besi Temangan, Machang dikatakan hidup dalam keadaan terseksa di bawah pemerintahan Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Pemimpin "De Facto" Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, penduduk kampung berkenaan terpaksa berhadapan dengan masalah banjir lumpur sejak sekian lama.

“Air hujan yang membawa bersama pasir dan sisa buangan akan mengalir melalui rumah penduduk kerana jalan di hadapan rumah mereka telah bertukar menjadi laluan air akibat sungai tertimbus.

“Selain itu, saya juga difahamkan kebun getah dan dusun buah-buahan penduduk kampung berhampiran dengan lombong juga telah musnah.

“Penduduk kampung masih tertanya-tanya bila masalah ini akan diselesaikan oleh kerajaan kerana mereka telah menderita sejak tahun 2014,” katanya dalam satu surat ditujukan kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan kelmarin.


Bekas Naib Presiden PAS itu turut mendakwa bahawa sebahagian mangsa banjir berkenaan terpaksa menumpang dengan keluarga dalam rumah transit banjir yang sempit dan tidak selamat untuk didiami.

Katanya, manakala sebahagian lagi mangsa terpaksa berpindah ke rumah sewa dan ini menambahkan lagi beban kos hidup mereka.

“Penduduk juga menghadapi masalah bekalan air bersih dan terpaksa bergantung kepada lopak takungan air di atas bukit,” katanya. – Kedahnews.com