Abd Hadi Abd Ghani menunjuk bekalan air tidak menentu hingga menjejaskan aktiviti harian mereka di Taman Mahsuri. |
JITRA - Sejak awal tahun ini, penduduk di Taman Mahsuri, di sini, berdepan masalah bekalan air yang kerap terganggu sehingga menyukarkan urusan seharian mereka.
Nasuha Shariff, 37, mendakwa, penduduk tidak dimaklumkan mengenai gangguan tersebut oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada), akibatnya penduduk terpaksa ke rumah saudara terdekat untuk mandi dan membasuh pakaian.
Menurutnya, ada penduduk terpaksa membeli air untuk kegunaan harian dan ia nyata membebankan mereka.
“Penduduk pernah menghadapi masalah air selama dua hari dan pihak berkenaan tidak memaklumkan.
“Sepatutnya pihak berkenaan memaklumkan terlebih dahulu jika mereka mahu menghentikan bekalan air supaya penduduk tidak cemas dengan ketiadaan bekalan air,” katanya.
Katanya, sejak awal tahun ini bekalan air sering terhenti pada waktu tertentu hingga penduduk terpaksa menyimpan air.
Dalam nada sama, Lee Lay Hooi, 48, pula berkata, kualiti air sejak akhir-akhir ini sangat mengecewakan.
"Air kadang kala keruh dan berbau busuk. Saya belum pernah tengok air kotor macam ini, bimbang boleh jejaskan kesihatan penduduk.
"Sada perlu siasat bagaimana air yang sehitam ini boleh dibekalkan kepada penduduk," katanya.
Katanya, dia terpaksa menukar penapis air tiga kali sehari disebabkan bekalan air yang sangat kotor.
"Masalah ini pernah diadukan penduduk kepada Sada tetapi sehingga kini ia masih berlarutan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus, Jabatan Perkhidmatan Korporat Sada, Rofedi Sulaiman ketika dihubungi berkata, sebelum ini paras air di kolam Bukit Mengkuang berada diparas rendah dan mengalami masalah tekanan.
Bagaimanapun kini penduduk tidak perlu lagi bimbang kerana masalah itu sudah dapat diselesaikan dan pengguna boleh dapat bekalan serta kualiti air seperti sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian