Perlu Katil Khas, Keluarga Mangsa Kemalangan Di Bayu Perlu Bantuan

Fatimah dan ahli keluarga lain mengangkat Said untuk dibawa ke tandas.
BALING - Sebuah keluarga dari Kampung Bechah Sawa, di sini, hilang punca pendapatan selepas ketua keluarga terlibat dalam kemalangan bulan lalu.

Isteri mangsa, Fatimah Abdul Razak, 37, berkata, suaminya Said Me, 43, terlibat dalam kemalangan pada 12 Januari lalu selepas dilanggar kereta ketika menunggang motosikal.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan betis, paha serta tumit bahagian kirinya patah.

"Suami turut mengalami kecederaan serius di pinggang, tulang belakang, tulang bahu kanan termasuk paru-paru dan mata kanan.

“Sejak dibenarkan keluarkan pada 24 Januari, kami sekeluarga terpaksa menggunakan kain cadar untuk mengusung dan menguruskan rutin harian suami termasuk mandi dan ke tandas," katanya.

Fatimah berkata, pihak hospital mengesyorkan penggunaan katil bagi memudahkan pergerakan, tetapi dia tidak mampu membeli katil berharga RM4,000.

“Saya dan suami menanggung seorang anak masih bersekolah berusia 10 tahun. Pendapatan keluarga hanyalah bergantung kepada upah suami bekerja kampung.

"Kini segala keperluan harian dan kos rawatan empat kali sebulan menggunakan simpanan yang ada," katanya.

Katanya, dia amat memerlukan bantuan kerusi roda, lampin pakai buang dan kewangan bagi meneruskan kehidupan.

Terdahulu, Adun Bayu, Datuk Azmi Che Husain menziarahi keluarga berkenaan pada 8 Februari lalu.

Mana-mana pihak yang ingin membantu, boleh salurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam 02-048-02-046570-2 atau hubungi Fatimah di talian 019-421 8132.

Sumber: Sinar Harian