Perubahan Pertengahan Musim Untuk Perkuat Pasukan JDT


JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan JDTII akan melakukan beberapa perubahan bermula pertengahan musim ini bagi memperkuatkan barisan utama pasukan berkenaan.

Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkata, perubahan akan dilakukan pada bulan Jun termasuk pada Disember akan datang.

“Saya telah menerima panggilan daripada pemilik Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan telah dimaklumkan mengenai perancangan untuk memperkuatkan barisan pasukan utama JDT dan JDT II pada Jun dan Disember akan datang ini.

“Kelab akan sentiasa melakukan beberapa perubahan yang baharu bagi memastikan ia sentiasa terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, laman Facebook rasmi JDT memaklumkan, kelab dari Brazil, Chapecoense De Futbol berhasrat bertandang ke Johor untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Menurut laman Facebook berkenaan, perlawanan itu sebagai tanda terima kasih kelab Brazil tersebut kepada JDT atas sokongan dan bantuan yang diberi ketika tragedi nahas udara membabitkan pasukan itu sebelum ini.

Pada November tahun lalu, sebuah pesawat yang membawa pegawai dan pemain Chapecoense De Futbol bagi kejohanan bola sepak Amerika Selatan terhempas di Colombia.

Sementara itu, JDT hanya mampu mencatat keputusan seri dengan skuad Selangor dalam saingan Liga Super meskipun bermain di kubu kuat sendiri, sekaligus melepaskan 3 mata berharga di Stadium Larkin, Johor Bahru. –Kedahnews.com