Pindaan RUU 355: Siti Kasim Sekali Jadi Perhatian


ALOR SETAR - Peguam kontroversi, Siti Kasim yang suatu ketika dahulu pernah menimbulkan kontroversi apabila menunjukkan isyarat lucah semasa forum soal jawab Rang Undang-Undang Pindaan 355 (RUU 355), kali ini sekali lagi menghangatkan keadaan.

Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim  menarik perhatian ramai apabila bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab Forum 'Sejauh Mana Anda Memahami Hudud'.

Forum tersebut diadakan di Dewan Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di Kuala Lumpur, semalam.

Mata para hadirin tertumpu kepada Siti Kasim apabila dirinya bertanyakan soalan konon hakim-hakim di mahkamah kini langsung tiada keberanian untuk mentafsirkan kes-kes yang berkaitan dengan isu agama Islam.

"Kenapa saya lihat di mahkamah, jika ada isu Islam disebut walaupun hanya sedikit, hakim-hakim tidak ada keberanian untuk tafsir undang-undang tersebut seperti sepatutnya.

"Ini merupakan masalah yang besar kerana mahkamah merupakan jalan terakhir untuk masalah kita," soalnya.

Bagi menghuraikan kekusutan yang bermain di kotak pemikiran Siti Kasim tersebut, Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi menjawab pihak mahkamah yang akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam merungkai, membuat tafsiran dan menguatkuasakan Perlembagaan.

Walaupun mereka bertanggungjawab sepenuhnya akan tetapi isu berkaitan agama Islam dilihat sebagai agak rumit dan perlu berhati-hati ketika mengendalikannya. Sikap berjaga-jaga tersebut membuatkan mahkamah kurang yakin untuk menguruskannya.

"Segala-segalanya isu yang melibatkan syariah Islam seperti undang-undang, akidah, dan lain-lain ia adalah sangat berbahaya membuatkan mahkamah kurang yakin bila isu ini berkait," jelas Profesor Shad.

Keadaan menjadi bertambah panas apabila Siti Kasim mengulangi soalan yang dibangkitkannya sebelum ini, iaitu mengenai pilihan umat Islam yang dikatakan terpaksa mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh sesetengah pihak.

"Saya dilahirkan sebagai orang Islam dan Melayu dan berbangga dengan agama saya serta telah biasa dengan undang-undang sekular negara ini.

"Akan tetapi, kenapa saya harus ikut undang-undang yang ditentukan oleh sesetengah pihak memandang Islam dari segi berbeza?" soal Siti Kasim lagi.

Tidak menjawab kepada soalan Siti Kasim tersebut, Profesor Shad menyatakan bahawa soalan sedemikian tidak sesuai untuk diajukan dalam forum seperti ini. Ia dianggap tidak kena dengan tempat kerana melibatkan ramai pihak dan pastinya timbul pelbagai perbezaan pendapat.

"Untuk bertanyakan soalan berbentuk pilihan ini tidak sesuai di dalam forum seperti ini kerana ia melibatkan banyak pihak.

"Dari segi ini, lebih mudah jika ia dibincangkan menerusi satu dialog mudah serta kerana ramai orang lihat Islam ini dari sudut yang berbeza-beza. Islam itu sendiri sangat indah namun terpulang pada mereka yang menginterpretasikannya," katanya.-Kedahnews.com