PKR Ingatkan Hanya Anwar Calon Tunggal PM Pihak Pembangkang


KUALA LUMPUR – PKR mengingatkan parti-parti gabungan Pakatan Harapan bahawa hanya Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang akan menjadi calon tunggal Perdana Menteri  pihak pembangkang jika berjaya merampas kuasa pemerintahan negara.

Bendahari PKR, Dr. Tan Yee Kew berkata, peringatan itu adalah perlu bagi mengenepikan perbezaan pandangan dalam pakatan pembangkang mengenai isu siapa akan menjadi mengetuai pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menjadi calon Perdana Menteri.

"Siapa yang akan mengetuai PRU14? Memang terdapat perbezaan pandangan dalam pakatan pembangkang mengenai siapa yang akan mengetuai pada PRU14 dan calon Perdana Menteri.

"Namun parti komponen Pakatan Harapan telah sebulat suara membuat keputusan memberi sokongan kuat kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri pada Konvensyen Pakatan Harapan 2016," dakwanya dalam satu kenyataan media.


Beliau dipercayai memberi peringatan itu ekoran pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat mula meresapi Pakatan Harapan menyebabkan pengaruh Anwar dalam kalangan pemimpin dan penyokong pembangkang mula merundum.

Pakatan Harapan dibarisi DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), manakala PPBM merupakan parti baharu yang kini menjalin kerjasama dengan gabungan tersebut, sekaligus menandakan penolakan menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS.

Mahathir sebelum ini turut berura-ura menamakan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang dalam satu kenyataan di luar negara sehingga menyebabkan ramai pemimpin DAP melenting dan membantah kenyataan itu.

Selain itu, Yee Kew turut menegaskan bahawa penjara bukan penghalang bagi Anwar untuk menjadi pemimpin ikonik Pakatan Harapan dengan melantik seorang pemangku Perdana Menteri terlebih dahulu.

Justeru itu katanya, isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah wajar dan praktikal untuk menjadi seorang Perdana Menteri sementara jika pembangkang berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Memang terdapat ramai pemimpin utama pembangkang lain yang layak sebagai calon Perdana Menter. Namun, perlu ingat bahawa sebahagian besar penyokong pembangkang bersatu di belakang gambaran ikonik Anwar.

“Bolehkah pakatan pembangkang mendapatkan pengundi jika pembangkang meletakkan satu nama calon Perdana Menteri selain daripada Anwar atau idea di mana Wan Azizah tidak menjadi PM sementara,” katanya. – Kedahnews.com