PKR Ramal PAS Buat U-Turn Saat Akhir Kembali Sertai Pakatan Harapan


ALOR SETAR - PAS diramal bakal bersikap 'flip-flop' dan membuat pusingan U di saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 untuk kembali ke pangkuan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, PAS tidak mungkin akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kerana kedua-dua parti terbesar bangsa Melayu beragama Islam itu menghadapi masalah dari segi pengagihan kerusi.

"Buat masa ini, krisis yang berlaku antara DAP dan PAS semata-mata untuk menjaga maruah masing-masing.

"Dari segi realitinya, Pakatan Harapan masih perlukan Pas sekiranya mahu benar-benar memberi tentangan kepada BN," kata Tian Chua, memetik laporan akhbar berbahasa Cina, China Press.

Ahli Parlimen Batu itu mendakwa, kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut menjadi satu lagi faktor yang menjadi punca Parti Amanah Negara (PAN) ketika ini sudah bersedia untuk bekerjasama dengan PAS.

Jelasnya, penubuhan PPBM menjadi punca melemahkan PAN dan dikatakan telah menutup laluan mudah bagi parti serpihan itu untuk menggantikan tempat PAS di dalam pakatan pembangkang.

"Sebelum ini, DAP dan PAN yakin dengan kemampuan mereka untuk menggugat kekuatan PAS. Tetapi selepas PPBM ditubuhkan, kekuatan PAN agak terjejas dan harapan mereka untuk menggantikan PAS boleh dikatakan sudah tertutup.

"PAN ketika ini perlu membahagi-bahagikan kerusi mereka dengan PPBM. Oleh itu, tidaklah mustahil PAN barangkali akan bekerjasama semula dengan PAS," katanya lagi.

Difahamkan bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan dianggotai oleh PKR, PAN serta gabungan barunya bersama PPBM akan duduk semeja hari ini bagi meneliti pembahagian kerusi pilihan raya secara serius.

Namun Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke menegaskan bahawa pembahagian kerusi tersebut tidak ada kena mengena dengan PAS dan parti itu tersingkir dari menerima sebarang agihan kerusi di kalangan rakan sekutu Pakatan Harapan. - Kedahnews.com