PM Lulus Litar Lumba Bernilai RM30 Juta Untuk Gen-Y Kedah


ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menceriakan lebih 10,000 generasi muda Kedah apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 Juta bagi membina sebuah litar lumba di Sungai Petani.

Beliau berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah meminta beliau sendiri hadir melancarkan litar lumba berkenaan tidak lama lagi

"Lepas ini tak payah jadi mat rempit lagi di jalan raya, berlumba lah di litar lumba itu nanti," katanya sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh dari anak-anak muda Kedah yang memenuhi perkarangan Menara Alor Setar, di sini sejak awal pagi tadi.

Menurut sumber, litar lumba berkenaan sepatutnya sudah lama terbina sejak tahun pertama Kedah diambil alih Kerajaan BN pada tahun 2013, namun ia gagal direalisasikan.

Desas-desus sebelum ini mendakwa litar lumba tersebut lewat dibina ekoran pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengusul supaya litar berkenaan dibina mengikut prestij Litar Antarabangsa Sepang.

Namun begitu, khabarnya cadangan tersebut tidak dipersetujui ekoran ia memakan belanja yang terlalu besar mencecah lebih RM70 juta dan Kerajaan Negeri dikhuatiri tidak mampu membiaya kos penyelanggaraannya kemudian hari serta merugikan semua pihak.

Difahamkan juga bahawa litar lumba bernilai RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah bersifat realistik dan berkemungkinan akan menjadi pusat sehenti bagi sukan-sukan berimpak tinggi bagi kegunaan generasi muda di Kedah. - Kedahnews.com