PM Ucap Terima Kasih Kepada Bangladesh Beri Laluan Pada Nautical Aliya


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina kerana memberi laluan khas kepada kapal misi kemanusiaan ‘Nautical Aliya’.

Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada kesemua sukarelawan Malaysia dan pihak terlibat yang telah bertungkus-lumus dalam misi menurunkan bantuan di kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Alhamdulillah, misi Food Flotilla kita melalui kapal Nautical Aliya telah selamat tiba ke Bangladesh untuk menyampaikan 2,000 tan bantuan kepada pelarian Rohingya di sana.

“Semoga Allah terus melindungi dan merahmati umat Islam serata dunia,” kata beliau menerusi catatan Facebook dan Twitternya, malam tadi.

Selepas melalui pelayaran selama 12 hari, kapal misi kemanusiaan itu hari ini tiba di pelabuhan Chittagong, Bangladesh kira-kira 12.30 tengah hari waktu tempatan, selepas kerajaan Bangladesh membantu menyediakan laluan khas ke pelabuhan itu.

Setelah berlepas pada 3 Februari dari Pelabuhan Klang, kapal itu pada 9 Februari menurunkan bantuan di pelabuhan Yangon, Myanmar sebelum kembali belayar menuju ke Chittagong.

Misi yang dikenali sebagai ‘Food Flotilla For Myanmar’ anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 182 sukarelawan merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia dan negara luar, pasukan perubatan, tenaga pengajar dan pengamal media. – BERNAMA