Polis Kedah Berkas 13 Anggota Kongsi Gelap

Asri (dua, kanan) menunjukkan senjata api dan peluru yang dirampas pada sidang media di IPK Kedah, kelmarin.
ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya menahan seramai 13 lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap yang bergiat aktif di dalam kegiatan pemerasan dan ugutan di daerah Kuala Muda, Langkawi dan Kulim.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 50-an ditahan menerusi Ops Cantas Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah pada 20 hingga 21 Februari lalu.

“Tangkapan terdiri daripada Geng 04 di Kuala Muda, Geng 36 di Langkawi dan Geng 08 di Kulim. Kesemua mereka telah ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan  direman selama 21 hari di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

“Pada 2016, kita juga telah menahan seramai 98 orang dan daripada jumlah itu seramai 35 orang adalah dipercayai terlibat dalam aktiviti gengsterisme dan kongsi gelap telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bagi keseluruhan Kedah,” katanya.

Menurutnya, pihak polis juga masih mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan di bawah jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Kita memohon orang ramai yang ada maklumat  menghubungi Inspektor Faizul Izuan Harun ditalian 04-7741541.

“Kita sangat memandang serius terhadap kegiatan kongsi gelap ini dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sama ada secara individu ataupun  berkumpulan,” katanya.

Pada perkembangan lain, sepasukan polis daripada cawangan D9 JSJ Kedah dan dibantu JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah mengadakan serbuan di sebuah rumah di kawasan Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil kira-kira jam 5 petang pada 21 Februari lalu.

“Hasil serbuan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan telah mendedahkan memiliki satu pucuk senjata api yang disimpan di bahagian luar belakang rumahnya.

“Pemeriksaan lanjut di celah batu yang ditunjukkan oleh suspek telah menemui satu bungkusan plastik dan kain yang mengandungi satu pucuk pistol bersama satu kelopak berisi dua butir peluru,” katanya.

Jelasnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik  juga didapati ada satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan urin positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana memiliki senjata api dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru," katanya.

 “Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 28 Februari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, pada 22 Februari lalu kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan Jabatan Perhilitan Daerah Sik telah menahan sebuah motosikal jenis Honda Wave tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 49 tahun semasa sekatan di laluan pintu masuk dan keluar di dalam hutan simpan Ulu Muda, Jalan Balak Lasor, Sik.

“Pemeriksaan dijalankan telah menjumpai satu senapang buatan sendiri yang diceraikan kepada dua bahagian dan dibalut dengan kain dan satu plastik berisi sembilan butir peluru kekacang pelbagai jenis di dalam beg galas yang dibawa oleh tangkapan.

“Seterusnya tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Sik dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Lelaki yang berasal dari Sik itu merupakan seorang penoreh getah dan tiada sebarang rekod jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

 Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 28 Februari untuk siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian