Polis Rampas Lebih 1,200 Bungkusan Ketum Di Pokok Sena


ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki dan merampas lebih 1,200 bungkusan daun ketum bernilai lebih RM7,000 di Kampung Kedondong, Pokok Sena di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, daun ketum itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Ketika diminta memberhentikan kenderaannya oleh anggota trafik, suspek tiba-tiba memecut laju menghala ke arah Jitra dan terus dikejar anggota terbabit sejauh lebih 20 kilometer.

“Anggota saya mengambil masa lebih kurang 20 minit mengejar suspek sebelum seorang lagi anggota trafik bermotosikal dan kereta polis bantuan tiba membantu sehingga suspek berumur 30-an dan berasal dari Arau, Perlis itu ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini, semalam.

Katanya seorang anggota polis cedera di kaki dan tangan selepas dilanggar kereta dipandu suspek dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau direman empat hari untuk siasatan, katanya. – BERNAMA