Polis Selamatkan 18 Mangsa Pemerdagangan Di Gerik


IPOH – Seramai 18 individu warga tempatan termasuk lima kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan dalam operasi di daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek di Pengkalan Hulu dekat Gerik kira-kira 170 kilometer dari sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak melakukan serbuan di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam.

Beliau berkata mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 11 dewasa termasuk enam wanita berusia lingkungan 27 hingga 64 tahun; dua remaja lelaki berumur 13 dan 17 tahun dan lima kanak-kanak berusia antara dua dan tujuh tahun.

“Polis turut menahan sepasang suami isteri yang berusia 43 dan 24 tahun dipercayai merupakan dalang utama sindiket berkenaan.

“Seorang daripada mangsa mendakwa majikan mereka iaitu suspek wanita pernah mengugut untuk memukul sekiranya mangsa tidak membuat kerja-kerja di ladang atau bertanyakan mengenai gaji,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Gan berkata suspek wanita itu juga pernah memaksa lima kanak-kanak berkenaan untuk bekerja di ladang kelapa sawit tanpa dibayar sebarang gaji atau upah.

Katanya dalam serbuan itu, polis turut merampas antaranya sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso, sebuah kereta Nissan Navara, beberapa keping kad pengenalan dan sijil kelahiran, tiga salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas nama GK Lucky City Enterprise serta 11 sampul salinan polisi insurans syarikat Etiqa Insurance.

Gan berkata pihaknya kini dalam proses mendapatkan perintah reman daripada mahkamah ke atas pasangan suami isteri berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – BERNAMA