ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, membuat ramalan kononnya harga bagi petrol RON95 bakal meningkat sehingga RM2.70 untuk seliter pada Jun ini.
Manakala harga bagi diesel pula dijangka bakal meningkat untuk beberapa bulan akan datang selaras dengan peningkatan harga petrol RON95 sebagaimana yang diramalnya itu, sekaligus menolak kemungkinan berlaku penurunan harga bagi petrol dan diesel untuk bulan seterusnya.
"Hari ini saya ingin menambah lagi berita buruk kepada rakyat Malaysia dengan memberi amaran lebih awal bahawa harga petrol dan diesel dijangka terus kekal pada paras yang tinggi (sekitar RM2.30 seliter) dalam beberapa bulan akan datang.
"Malah, saya menjangkakan harga petrol dan diesel akan terus naik pada beberapa bulan akan datang dan berkemungkinan mencecah RM2.70 (seliter) menjelang Jun 2017 sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan," katanya memetik portal pro pembangkang Malaysiakini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ramalannya itu kononnya akan menjadi kenyataan sekiranya pihak kerajaan tidak memperkenalkan kaedah harga siling atau mengembalikan subsidi.
Rafizi sebelum ini mencadangkan kepada pihak Kerajaan supaya menggunakan strategi apungan harga petrol dan diesel berdasarkan harga minyak di pasaran dunia bagi menentukan harga pasaran di negara ini.
Setelah Kerajaan menggunakan kaedah harga apungan pasaran dunia itu, Rafizi kini mendesak supaya harga siling RON95 ditetapkan pula pada RM2 seliter, sekaligus bertentangan dengan kaedah yang dicadangkannya sebelum ini.
Pada awal Februari lalu, harga petrol telah mengalami peningkatan sebanyak 20 sen dan dijual pada harga RM2.30 seliter bagi RON95 serta berada di paras tertinggi sejak Januari 2016.
Bagi harga petrol RON97 pula dijual pada harga RM2.60 seliter manakala untuk diesel kini berapa pada paras harga RM2.15 untuk seliter.-Kedahnews.com