Rakyat Sudah Dapat Baca Taktik Terdesak DAP


ALOR SETAR – Taktik DAP yang mengalu-alukan beberapa pemimpin Melayu menyertai parti itu telah dapat dibaca dan ia dikatakan sebagai salah satu cara parti pembangkang itu untuk menawan semula sokongan khususnya orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, masyarakat Melayu yang beragama Islam perlu berwaspada dengan taktik ini dan  tidak terpedaya dengan taktik DAP itu dan mengambil iktibar atas apa yang pernah berlaku terhadap PAS sebelum ini.

 “Apakah kita mahu menyokong sebuah parti yang bersikap perkauman dan anti Islam seperti mana didedahkan Pas.

“Saya yakin dan percaya rakyat sudah dapat membaca taktik terdesak DAP yang sedar PRU ke-14 semakin hampir.

“Tanpa sokongan pengundi Melayu impiannya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti didedahkan sebelum ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya semalam, memetik laporan Sinar Harian.

Sohaimi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Zaid Ibrahim yang sebelum ini menyertai PKR, menubuhkan parti KITA dan kini menyertai DAP, semalam.

Kata Sohaimi, rakyat pastinya jelas bahawa Zaid bakal dijadikan "alat" untuk meraih sokongan dan undi masyarakat Melayu khususnya menjelang pilihan raya nanti.

Ujarnya lagi, DAP sedar kini mereka semakin kehilangan sokongan orang Melayu dan ia merunsingkan mereka dan taktik berkenaan akan mempergunakan Zaid bagi mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap parti kuku besi tersebut.

“Keputusan ini bukan kerana asas perjuangan Zaid yang kukuh, sebaliknya adalah usaha untuk mengaburi mata rakyat serta menghilangkan ketakutan khususnya dalam kalangan orang Melayu.

“DAP kini berdepan krisis keyakinan sokongan orang Melayu terhadap parti itu cukup teruk. Apatah lagi keputusan PAS yang enggan kembali bersama parti terbabit adalah satu tamparan yang cukup hebat buat DAP dalam usaha meraih sokongan orang Melayu ditambah  lagi kegagalan Parti Amanah Negara (PAN) memainkan peranan dalam menarik undi Melayu,” katanya.

Kenyataan PAS sebelum ini yang secara terang-terangan menyebut DAP sebuah parti anti-Islam dan anti-Melayu, ia telah memberi tamparan hebat buat parti cauvinis tersebut.

Bagi menafikan dakwaan PAS tersebut maka DAP terpaksa mengambil pendekatan menerima penyertaan dan memberi beberapa jawatan kepada golongan Melayu yang sertai parti tersebut.

Maka dengan itu, DAP mengharapkan rakyat percaya bahawa mereka tidak memboikot Islam.

“Jadi, untuk mengurangkan sedikit ketakutan pengundi Melayu terhadap DAP, maka sudah pasti membawa masuk tokoh-tokoh Melayu adalah satu pendekatan munasabah.

“Oleh itu rakyat khususnya orang Melayu diingatkan supaya tidak terpedaya dengan permainan politik murahan DAP,” katanya. -Kedahnews.com