Rasuah: 2 Pegawai Agama Ditahan, 5 Kenderaan Mewah Antara Disita


JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan dua pegawai agama semalam kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Johor.

Pegawai berkenaan yang masing-masing berumur 45 dan 55 tahun, bertugas di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru.

Kedua-duanya ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 4.15 petang ketika hadir untuk dirakam percakapan berhubung siasatan ke atas mereka.

Difahamkan seorang daripada mereka terbabit dalam persatuan yang menyelaras dan menguruskan jualan buku serta peralatan kepada 550 sekolah agama rakyat di Johor yang mempunyai kira-kira 175,000 murid.

Menurut sumber SPRM, mereka disyaki menerima wang rasuah daripada syarikat percetakan yang dilantik persatuan itu sebagai balasan memberi projek mencetak buku dan kitab sekolah agama rakyat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta sejak 2015 sehingga sekarang.

Pegawai SPRM Johor kemudian turut menyita enam kenderaan milik kedua-dua mereka yang dipercayai dibeli daripada hasil wang rasuah yang diterima itu.

Antara kenderaan yang disita adalah Toyota Alphard, Chevrolet Malibu, Toyota Hilux, Mini Cooper, Honda CRV dan Perodua Axia.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata mereka dijangka direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan, esok.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta SPRM 2009, katanya. – BERNAMA