"Sebelah Tangan Hulur Salam, Sebelah Tangan Lagi Hulur Penumbuk"


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peringatan agar tidak mengamalkan sikap perbincangan kerjasama politik "sebelah tangan mahu bersalam, sebelah tangan lagi mahu menumbuk".

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kelicikan cara politik Mahathir itu dapat dihidu PAS dan beliau menegaskan bahawa corak politik Pengerusi PPBM itu sama sekali tidak membantu sekiranya berhajat menjalin kerjasama dengan PAS.

"Cara dan kenyataan Tun Dr Mahathir ini tak membantu. Kalau nak bincang buat cara nak bincang. Jangan dalam masa yang sama hulur (sebelah) tangan (untuk bersalam), masa sama (sebelah tangan lagi) tumbuk," katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.

Menurut Mohd Amar, sekiranya Mahathir merasakan kononnya PAS hanya bakal membawa masalah dan menjadi bebanan kepada Pakatan Harapan, maka bergerak pada haluan masing-masing menjadi keputusan yang terbaik bagi kedua-dua parti.

Jelasnya, PAS sudah sekian lama mampu bergerak secara solo termasuk di zaman Mahathir berkuasa dahulu dan bekas Perdana Menteri itu tidak perlu memaksa PAS mengikut telunjuknya untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Kita (PAS) dah lama duduk bersendirian dan kalau Tun (Mahathir) rasa PAS tak efektif, tak perlulah dia minta kita masuk dalam Pakatan Harapan.    

"Sebab kalau kita masuk, kita akan menyusahkan dia pula kerana dia kata kita tak efektif, kita tak boleh bantu ahli... jadi kita bawa jalan masing-masing," tegas beliau, memulangkan "paku buah keras" kepada Mahathir.

Mahathir yang sebelum ini mengaku mahu melupakan PAS dalam satu kenyataan pada emdia Singapura telah membuat pusingan U apabila menawarkan tempoh selama sebulan kepada PAS untuk menjalin kerjasama dengan PPBM dan Pakatan Harapan.

Namun tempoh tersebut ditolak mentah-mentah oleh PAS dan menegaskan bahawa parti Islam itu "menutup pintu" kepada PPBM ekoran parti pimpinan Mahathir tersebut bersekongkol rapat dengan DAP dan PAN yang dikatakan khianat pada PAS sebelum ini. - Kedahnews.com