PETALING JAYA - Suspek wanita kedua yang ditahan polis pada Khamis selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menggunakan pasport Indonesia.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi satu kenyataan rasmi, suspek wanita itu juga menggunakan nama 'Siti Aishah' dan berusia 25 tahun berdasarkan tarikh lahir yang tertera pada pasport miliknya.
Berdasarkan maklumat pasport itu, wanita tersebut lahir di Serang, Indonesia pada 11 Februari 1992.
Tambah Khalid, Siti Aishah ditahan berdasarkan imej yang diperoleh daripada rakaman kamera keselamatan KLIA2.
"Suspek bersendirian ketika ditahan," jelas Khalid tanpa menyatakan lokasi penahanan wanita tersebut.
Pada Selasa, dunia digemparkan dengan kes pembunuhan Jong-nam yang menggunakan pasport diplomatik dengan nama Kim Chol.
Mangsa dikatakan mati akibat disembur racun oleh dua wanita dipercayai perisik Korea Utara.
Ketika kejadian, mangsa berada di ruang balai pelepasan untuk menunggu penerbangan ke Macau.
Motif pembunuhan masih disiasat tetapi laporan media asing mendakwa pembunuhan itu ada kaitan dengan pemimpin Korea Utara, Jong-un yang kurang senang dengan kritikan dilemparkan oleh abang tirinya itu terhadap kepimpinannya.
Sumber: mStar