PETALING JAYA - Pelakon Siti Elizad meluahkan rasa terkilan apabila dituduh sengaja menghalang dirinya sendiri untuk hamil walaupun selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.
Malah Elizad, 33, berkata, dia seakan-akan hilang sabar apabila sesetengah pihak termasuk netizen memberikan komen negatif termasuk membabitkan keluarga dan suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 45.
"Bagi yang pandai-pandai cakap saya tak nak anak, mereka tahu atau tidak apa yang berlaku?
"Orang tuduh saya tahan rezeki. No! Saya tak tahan rezeki dan memang tengah mencuba, tapi perlukah semua hal dalam kain nak cerita kepada orang?
"Semua wanita pasti nak anak, tapi kalau belum ada rezeki nak buat bagaimana?" luah Elizad.
Elizad ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi Elizad Sharafuddin X Fella Rosse di Mutiara Damansara baru-baru ini.
Dia mengikat kontrak sebagai duta minyak wangi keluaran syarikat itu selama setahun.
Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd Sharifuddin berkata, perkara paling mengecewakannya ialah apabila ada pihak yang menjadikan hubungan intimnya dengan suami sebagai bahan gurauan.
"Saya tak suka orang bercakap pasal suami. Mereka kata macam-macam kononnya dia 'tak pandailah'... melampau!
"Jangan suka bercakap mengenai hal orang kerana satu hari nanti pasti akan terkena pada diri sendiri, keluarga atau orang sekeliling anda," katanya.
Ditanya sama ada dia turut menerima tekanan daripada keluarga mengenai isu zuriat, Elizad berkata dia bersyukur kerana suami dan keluarga memahami situasi yang dihadapinya.
"Keluarga tak mendesak, tapi saya sendiri mula-mula rasa tekanan. Namun suami nasihatkan jika saya terus begitu, lagi susah nak dapat anak.
"Apabila berkahwin dengan orang yang lebih matang, dia lebih tenang dan dia selalu pesan jangan layan apa orang cakap," katanya sambil mengakui turut mengamalkan pelbagai petua untuk hamil termasuk minuman susu kambing.
Cerita Elizad lagi, dia turut menjadikan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang turut berhadapan situasi yang sama sebagai simbol kekuatannya apabila dikritik.
"Contoh terbaik ialah Datuk Siti, kekuatan dia buat saya kuat. Dia lebih lama hadapi perkara begini, tapi dia senyum sahaja.
"Selain itu saya juga ada menerima nasihat daripada rakan artis dan insyaAllah jika ada kelapangan saya nak pergi jumpa doktor pakar dan bincang tentang kehamilan," katanya.
Elizad dan suaminya Shamsul Baharin yang merupakan duda dua anak mendirikan rumah tangga pada 11 April 2015.
Sumber: mStar