Skandal BNM: Syed Saddiq Mahu RCI Siasat Hingga Ke Lubang Cacing


ALOR SETAR - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak supaya  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melakukan siasatan terhadap isu berkaitan Bank Negara Malaysia (BNM) hingga ke lubang cacing.

Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan terlibat dalam kes yang menyebabkan kerugian bank pusat dalam urus niaga mata wang pada awal 90'an itu katanya perlu diteliti dengan mendalam.

"Namun jika siasatan mahu dijalankan, maka haruslah disiasat sampai ke lubang cacing. Jangan lupa bahawa era Tun Mahathir pun merupakan era UMNO juga," katanya semalam, memetik laporan Sinar Harian.

Syed Saddiq menjelaskan bahawa skandal terbesar Bank Negara itu berlaku pada tahun 1991 dan semua pemimpin UMNO di era pemerintahan Mahathir itu juga perlu disoal siasat, termasuk Pengerusi PPBM tersebut ekoran beliau ketika itu adalah Presiden UMNO.

Terdahulu, bekas penolong Gabenor Bank Negara Abdul Murad mendedahkan bahawa bank pusat tersebut telah mengalami kerugian sebanyak US$10 bilion dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal 90-an.

Bagai melepaskan geram, Syed Saddiq mendakwa sekiranya Mahathir didapati bersalah, maka setiap ahli dan pemimpin UMNO di zaman itu perlu dipersalahkan dan dihukum.

"Jika benar Tun M didapati bersalah, ini bermakna satu UMNO juga bersalah kerana mempertahankan beliau. Jika benar mahu menghukum Tun M, setiap ahli UMNO yang membantu dan mempertahankan beliau harus turut dihukum setimpal-timpalnya," katanya lagi.

Tidak dapat dipastikan usia Syed Saddiq ketika skandal yang menggemparkan dunia itu berlaku pada awal 1990'an tersebut. -Kedahnews.com