Stesen Minyak Di Jeniang Sengaja Tutup Awal Untuk Kaut Untung Lebih?

Penguat kuasa KPDNKK menjalankan siasatan susulan menerima aduan daripada orang awam.
SUNGAI PETANI - Ketika stesen minyak dipenuhi kenderaan yang mahu mengisi minyak selepas mengetahui harga petrol dan diesel dinaikkan berkuat kuasa tengah malam 1 Februari lalu, sebuah stesen minyak dekat Jeniang, Gurun didapati bertindak menutup operasi lebih awal.

Stesen minyak itu menutup operasi 30 minit lebih awal dipercayai bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan dengan menjual bahan api itu menggunakan harga baharu.

Bagaimanapun, tindakan itu akhirnya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani yang menjalankan operasi diketuai Mohd Muhaidi Abd Rahman bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada 1 Februari lalu.

Ketua Cawangannya, Sha’arani Miskat berkata, pihaknya menjalankan operasi selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai tindakan pengusaha yang menutup stesen minyak 30 minit lebih awal tanpa kebenaran KPDNKK.

Menurutnya, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini selepas kerajaan memperkenalkan sistem pengapungan harga minyak sejak Januari lalu.

“Mengikut syarat lesen, stesen minyak sepatutnya tutup pada jam 10.30 malam, tetapi pada hari kejadian stesen itu menutup operasi antara jam 9 hingga 10 malam dengan alasan menyimpan bekalan untuk kegunaan orang kampung.

“Pengusaha stesen itu dipercayai mahu menjual dengan harga baru selepas jam 12 tengah malam. Hasil pemeriksaan kita dapati pam tidak rosak, malah masih ada minyak yang boleh dijual,” katanya, kelmarin.

Sehubungan itu, kata Sha’arani, tindakan tegas akan dikenakan kepada pengusaha stesen minyak itu.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara.

“Jika didapati bersalah, lesen milik pengusaha terbabit boleh dibatalkan kerana melanggar syarat lesen ataupun arahan kementerian,” katanya.

Berkuat kuasa 1 Februari lalu, harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen.

Peningkatan berturut-turut sejak Disember tahun lalu menyaksikan harga RON95 naik kepada RM2.30 seliter, manakala RON97 pula kepada RM2.60 seliter.

Kadar baharu diesel ialah RM2.15 seliter, berbanding RM2.05 pada Januari selepas naik 10 sen.

Sumber: Sinar Harian