Sudah Mula Bergaduh, Bunuh Orang Pada Usia 18 Tahun

Shaidan (kanan) berjumpa dengan ahli keluarga penghuni penjara semasa Program Jalinan Kasih Sempena Tahun Baru Cina peringkat penghuni di Penjara Pokok Sena
ALOR SETAR - Gara-gara pengaruh rakan sebaya membuatkan seorang pemuda sanggup bergaduh dan membunuh pada usia seawal 18 tahun.

Pemuda yang  dikenali sebagai Ah Kow, 42, dari Sungai Petani berkata dia menyesal dengan perbuatannya dahulu.

"Semuanya berpunca dari pengaruh rakan dan darah muda yang masing-masing mahu menunjuk ego. Akhirnya bawa saya ke sini. Masa itu saya tak fikir pun risiko yang akan dihadapi," katanya.

Ah Kow merupakan salah seorang penghuni berbangsa Cina dari Penjara Pokok Sena yang diraikan dalam Program Jalinan Kasih Sempena Tahun Baharu Cina, kelmarin.

Menurutnya lagi, dia terharu dan gembira kerana mendapat berjumpa dengan ibu, abang dan anak saudara yang datang dari jauh untuk menziarahinya dalam meraikan majlis itu.

"Sejak dipenjarakan, ini kali pertama saya dapat jumpa keluarga.

"Walaupun kini dipenjara, ahli keluarga turut datang melawat dan beri sokongan untuk teruskan hidup. Mereka akan beri kekuatan kepada saya dan beri nasihat untuk lupakan peristiwa hitam lampau," ujarnya, memetik laporan Sinar Harian.

Lain pula ceritanya bagi Ah Moi, 33, yang berasal Changlon yang mengatakan bahawa tekanan hidup dalam membesarkan tiga anaknya selepas bercerai membuatkan beliau terjebak dalam aktiviti tidak sihat sehingga sanggup menjadi pengedar dadah.

“Selepas bercerai saya terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga anak yang masih bersekolah dan memerlukan wang untuk mereka.

"Saya terpaksa cari sumber wang yang menyalahi undang-undang kerana bekas suami langsung tidak pernah menghantar wang untuk anak-anak," katanya.

Malah menurut Ah Moi, selama dia menjadi pengedar dadah, dia mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sehari, sehingga suatu hari kegiatannya itu dihidu pihak berkuasa dan akhirnya dia dijatuhkan hukuman dipenjara selama 12 tahun.

Namun, sekarang dia mengaku sudah insaf dengan perbuatannya dahulu.

"Walau bagaimanapun kegiatan saya ini berjaya dihidu pihak berkuasa hingga terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun.

"Peristiwa hitam itu banyak beri pengajaran kepada saya dan kerinduan kepada anak-anak menyebabkan saya insaf," katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Penjara, Shaidan Shaari berkata, tujuan majlis ini diadakan ialah untuk merapatkan hubungan penghuni di penjara ini dengan keluarga mereka.

Keluarga memainkan peranan utama dalam memulihkan kehidupan banduan disini.

"Kedatangan keluarga ini secara tidak langsung menunjukkan banduan di sini masih diterima oleh keluarga mereka.

“Selain itu, Jabatan Penjara juga mahu mengikis tanggapan masyarakat selama ini bahawa banduan hanya dikurung begitu sahaja tetapi sekarang saya mahu memaklumkan Jabatan Penjara juga berperanan mendidik mereka pulang ke pangkal jalan,” katanya.- Kedahnews.com