Syarikat Malaysia Perlu Berani Teroka Pasaran Asia Selatan - Samy Vellu


KUALA LUMPUR – Syarikat Malaysia yang menjalankan perniagaan berasaskan pembangunan infrastruktur perlu berfikiran terbuka dan berani meneroka peluang untuk menembusi pasaran Asia Selatan.

Duta Khas Infrastruktur Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata ini berikutan kebanyakan negara di benua itu masih memerlukan khidmat pakar luar untuk memajukan infrastruktur di negara berkenaan.

“Inilah nasihat saya. Banyak syarikat Malaysia merasakan mereka tidak perlu ke luar negara kerana banyak projek di Malaysia. (Tetapi) akan tiba satu hari apabila tiada lagi projek di Malaysia kerana semua infrastruktur telah siap dibina, mana lagi mereka akan pergi?

“Jadi, rebutlah peluang di negara-negara Asia Selatan ketika permintaan masih ada. Jangan tunggu sehingga negara-negara ini menjadi maju seperti Malaysia dan mereka tidak memerlukan lagi kepakaran atau penyertaan kita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan syarikat tersebut supaya tidak mengharapkan pembiayaan daripada pelanggan atau kerajaan negara berkenaan untuk memulakan sesuatu projek.

Menurut Samy Vellu, mereka perlu berusaha mencari pembiayaan sendiri sama ada melalui pinjaman bank atau usaha sama dengan syarikat lain.

Beliau yang berperanan membantu syarikat-syarikat pembinaan Malaysia untuk mengembangkan sayap ke negara-negara Asia Selatan iaitu India, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Bhutan dan Maldives berkata pihaknya bersedia memberi khidmat nasihat kepada pihak yang bercita-cita untuk melebarkan sayap ke benua itu.

Bekas Menteri Kerja Raya selama lebih 20 tahun itu dilantik menjadi Duta Khas Malaysia bertaraf menteri bagi infrastruktur ke India dan Asia Selatan sejak 2011.

“Sejak saya dilantik ke jawatan ini, beberapa syarikat Malaysia telah mengemukakan cadangan bagi projek infrastruktur di negara-negara berkenaan sama ada di bawah kerjasama kerajaan dengan kerajaan atau secara Kerjasama Awam-Swasta (PPP),” katanya.

Samy Vellu berkata peluang syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran negara berkenaan terbuka luas kerana kerajaan Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menjalankan projek infrastruktur di benua itu.

Jelasnya, antara projek yang diberi adalah projek jana kuasa elektrik bernilai AS$2.0 bilion (RM8.88 bilion) di Bangladesh yang dijangka dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan projek membina 10,000 unit rumah kos rendah di Sri Lanka bernilai RM300 juta.

Selain itu, katanya kerajaan Malaysia juga telah disenarai pendek untuk mengusahakan projek menggantikan paip petroleum di Sri Lanka bernilai AS$40 juta (RM177.6 juta) baru-baru ini.

“Malaysia turut bekerjasama dengan India dalam pembinaan terminal gas di negeri Andhra Pradesh. Projek membekalkan gas itu dijalankan Petronas,” katanya.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa yang baik, Samy Vellu berkata Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan India dan negara Asia Selatan lain.

Katanya selain kepakaran dalam infrastruktur seperti jalan raya, jana kuasa elektrik dan perumahan, teknologi tenaga boleh baharu juga merupakan bidang terkini yang berpotensi tinggi untuk ditembusi oleh syarikat tempatan seperti TNB ke negara Asia Selatan. – BERNAMA