Syed Saddiq Mahu Semua Pemimpin Pembangkang "Melutut" Depan Hadi?


ALOR SETAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam seolah-olah menuntut agar semua pemimpin tertinggi dari parti gabungan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP, untuk segera “melutut’ di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, semua pemimpin tertinggi pembangkang perlu melakukan kunjungan hormat ke rumah Abdul Hadi bagi mengeratkan lagi hubungan sesama pemimpin pembangkang, sekaligus "memancing' PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Saya rayu terutama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang bukan hanya keluar kenyataan untuk ajak mereka datang bersidang tetapi pergi ke rumah Hadi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin Pas yang lain lain dan cuba dekati mereka secara peribadi," katanya pada sidang meja bulat Selamatkan Malaysia di The Club, Petaling Jaya, semalam.

Syed Saddiq menyebut sekiranya cadangan beliau tidak diterima dan para pemimpin tertinggi parti Pakatan Harapan masih belum bersedia untuk melakukan perkara tersebut, maka dia sendiri akan berbuat demikian.

"Saya akan pergi sendiri kalau mereka tak nak," katanya lagi.

Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan bahawa perkara yang diutarakannya itu bukanlah  satu alternatif yang asing dan baru bagi pihak pembangkang dan mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah melakukan perkara yang sama terhadap bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anwar Ibrahim sebelum ini melakukan kunjungan hormat dan bertandang ke rumah  Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk mengetahuai secara peribadi tentang kehendak sebenar PAS ketika itu dan ia membuahkan "hasil".

"Anwar bukan senang hendak dekati Tok Guru tetapi dia hampir setiap minggu mengunjungi rumah Tok Guru," katanya lagi.

PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan sudah berpatah arang dengan DAP dan PAN, serta tidak akan sesekali menjalin sebarang kerjasama dengan kedua parti yang disifatkan sebagai "anti-Islam" dan "pengkhianat" bagi parti Islam itu

Sementara itu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pula sering menghentam PAS sejak kebelakangan ini dan meluahkan rasa tidak puas hati ekoran PAS enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan membentuk blok ketiga, Gagasan Harapan.

Walau bagaimanapun, PPBM tetap cuba bekerjasama dengan PAS bagi mengelak pertembungan 3 penjuru membabitkan parti itu pada PRU ke-14 nanti. -Kedahnews.com