Tahap Kewangan Persatuan Hoki Negeri Kritikal, Inisiatif Kerajaan Negeri Ditagih


KUALA LUMPUR – Suntikan dana daripada kerajaan negeri ditagih bagi memastikan perkembangan bakat baharu hoki di peringkat akar umbi berikutan kedudukan kewangan persatuan-persatuan hoki negeri yang parah.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Subahan Kamal berkata sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan hoki di negeri masing-masing dan tidak hanya tertumpu kepada bola sepak semata-mata.

Menurutnya, KHM telah memainkan peranan selaku badan induk sukan hoki dengan menyalurkan dana antara RM50,000 dan RM80,000 setahun kepada persatuan negeri bagi tujuan pentadbiran serta pertandingan yang dianjurkan oleh negeri-negeri.

“Peranan kerajaan negeri sangat penting dalam hala tuju pembangunan hoki. Kalau mahu hoki berjaya, kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif membantu menggilap pemain di peringkat akar umbi.

“Kerajaan negeri lain perlu mengambil contoh peranan seperti Terengganu yang menyediakan dana yang besar untuk pemain mereka, begitu juga Negeri Sembilan.

“Saya mengambil contoh seperti Selangor, kerajaan negeri tidak memberikan bantuan langsung kepada persatuan negeri,” katanya kepada pemberita di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama setiausaha persatuan hoki negeri bagi membincangkan hala tuju pembangunan sukan serta menyerahkan subsidi RM10,000 kepada anggota gabungan.

Subahan berkata sekiranya setiap kerajaan negeri boleh menyalurkan RM100,000 setahun kepada persatuan hoki negeri, ia sudah memadai untuk memastikan bakat-bakat baharu dapat digilap demi masa depan hoki negara.

Seperti sukan lain, Subahan menekankan hoki merupakan antara sukan yang turut menyerlah di peringkat dunia dengan ranking dunia skuad lelaki negara kini di kedudukan ke-13 manakala 22 untuk skuad wanita negara. – BERNAMA