ALOR SETAR - PAS menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana memberi sokongan terhadap usaha menegakkan syiar Islam di negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, sokongan pihak kerajaan dan semua pihak terhadap usaha menjayakan perlaksanaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat dihargai parti tersebut.
“Yang lama biarlah berlalu. Terima kasih kepada kerajaan hari ini serta banyak pihak yang terus menyokong usaha untuk terus menegakkan syiar Islam,” katanya dalam kenyataan.
Nasruddin berkata demikian dalam satu temubual dengan media ekoran pendirian kerajaan yang sebelum ini pernah menolak mentah-mentah beberapa draf perlaksanaan undang-undang syariah berkaitan hudud di era pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Nasruddin turut mengulas mengenai pertikaian beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa isu berkaitan perundangan Islam itu perlu mendapat persetujuan dari Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
"Ada dua isu dibangkitkan di sini. Satu pindaan dan kedua Majlis Raja-Raja. Saya ingin tekankan, kedua-duanya tidak bercanggah langsung dengan perlembagaan mahupun peringkat Majlis Raja-Raja.
"Akta ini pernah digubal kali pertama pada tahun 1965 dan kali kedua pada 1984. Jadi untuk kali ketiga, kami bentang di Parlimen pada tahun 2016. Tempat menggubal akta adalah di Parlimen dengan majoriti tertentu.
"Ada yang perlukan majoriti dua pertiga, ada yang perlukan majoriti mudah. Jadi apabila kita memindanya di Parlimen, maknanya kita telah mengikuti lunas perlembagaan negara," kata Nasruddin menjelaskan kedudukan sebenar. - Kedahnews.com