"Throne Of Thorns": Gabungan Berani Antara Makyong, Karya Shakespeare


KUALA LUMPUR – Satu usaha yang berani dan luar biasa – mengadun karya penulis dan dramatis terkenal Inggeris William Shakespeare dalam drama-tari tradisional Kelantan, Mak Yong.

Pengarah teater, Norzizi Zulkifli, 41, berkata ini adalah karya arahan terbaru beliau berjudul ‘Throne of Thorns’.

Ia merupakan sebuah persembahan teater kontemporari yang menggunakan teknik persembahan pentas Makyong yang menerapkan karya Shakespeare, ‘The Tempest’ sebagai jalan ceritanya.

Teater yang bakal dipentaskan di Panggung Eksperimen Akademi Seni dan Warisan (Aswara) pada Jumaat hingga Ahad ini (17 hingga 19 Feb) dihasilkan oleh Norzizi bagi melengkapkan pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) Persembahan Teater di Universiti Wollongong, Australia.

Norzizi adalah puteri kepada pasangan pelakon terkenal Zulkifli Zain dan Normala Omar.

“Projek ini berdiri atas sifat akademik dan pertukaran budaya antara pelajar Malaysia dengan Australia.

“Teater gabungan budaya ini memberi ruang dalam menyaksikan bagaimana kreativiti ‘avant-garde’ (bersifat baharu, progresif dan luar biasa) berlangsung tetapi masih mengangkat dan mengguna pakai elemen tradisi sebagai kekuatan kemodenan,” kata Norzizi kepada Bernama.

Menurut beliau, teater ‘Throne of Thorns’ ini melibatkan 10 pelakon terdiri daripada graduan Seni Persembahan dari School of Arts, English and Media, Faculty of Law, Humanities and the Arts University of Wollongong.

“Dalam pada itu, bagi menyuntik lagi elemen Kemelayuan dalam teater ini, saya memilih aktivis teater, Zamzuriah Zahari dan Baisah Husin bersama barisan pelakon dari Australia ini,” katanya yang dibantu oleh Kraig Grady, seorang komposer dan pemuzik profesional dari Australia.

Throne of Thorns mengisahkan Raja yang telah kehilangan kuasa dan takhta setelah dirampas oleh adik kandungnya, Tamak.

Selepas 12 tahun berlalu, Raja merancang bersemuka dengan adiknya bagi membalas dendam.

Teater ini terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu Kapal Karam (The Shipwreck), Rahsia Tersembunyi (The Hidden Secret), Kuasa (The Power of The Master), Konspirasi (The Conspiracy), Rancangan (The Planning), Kuasa Cinta (The Magic of Love) dan Perdamaian (The Revelation).

Orang ramai boleh mendapatkan tiket persembahan teater ini di Aswara dengan harga RM20 dan RM10 atau boleh menghubungi talian 016-9719701 (Hanura), 012-2931302 (Zaza) atau e-mel info@aswara.edu.my. – BERNAMA