Tiada Permohonan Raja Salman Untuk Jumpa Mahathir, Kata Mukhriz


ALOR SETAR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa satu perjumpaan akan diadakan antara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Timbalan Presiden PPBM itu, setakat ini, tiada pertemuan rasmi diatur oleh kedua-dua pihak.

“Tiada permohonan daripada pihak Raja Salman untuk bertemu Mahathir atau sebaliknya,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang dikenal pasti penyokong tegar parti baru itu yang menyebar propaganda di media sosial mendakwa stesen televisyen tidak akan membuat liputan terhadap lawatan Raja Arab Saudi itu ke Malaysia.

Dakwaan itu mengatakan kononnya tindakan stesen televisyen tersebut adalah kerana Raja Salman akan bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu.

Walau bagaimanapun, hasil carian kami di media sosial pagi ini mendapati status-status propaganda tersebut telah dipadam oleh pihak terbabit, sekaligus menimbulkan persoalan tentang motif sebenar pihak berkenaan.

Mahathir sebelum ini mendakwa Raja Salman sebagai "arab gila" ekoran pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najob Tun Razak, bahawa keluarga DiRaja Arab Saudi telah menyalurkan sumbangan dana berjumlah RM2.6 bilion padanya.

Raja Salman selaku Penjaga Dua Masjid Suci tiba untuk melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia bermula hari ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong.

Raja Arab Saudi itu sebelumnya diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini apabila tiba untuk memulakan lawatan. - Kedahnews.com