TPPA: Pengunduran AS Bakal Percepat Rundingan RCEP


KUALA LUMPUR - Pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menyegerakan proses untuk memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ini akan memberi manfaat kepada kesemua 16 negara yang menyertainya, kata Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC).

RCEP adalah cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 10 anggota ASEAN - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan enam negara yang mempunyai FTA dengan ASEAN -- Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Presidennya MCCC, Tan Yew Sing, berkata tanpa TPPA, Malaysia dan negara lain masih mempunyai RCEP, walaupun proses memuktamadkannya agak perlahan.

"Keputusan oleh Presiden AS Donald Trump (menarik diri daripada TPPA), akan meningkatkan lagi momentum dan membantu memuktamadkan proses rundingan," katanya kepada Bernama.

Rundingan mengenai cadangan itu dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada November 2012.

Negara anggota RCEP mempunyai seramai 3.4 bilion penduduk dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS$21.4 trilion (AS$1>RM4.43), atau kira-kira 30 peratus daripada KDNK dunia.

TPPA pula menyumbang 40 peratus KDNK global dan 20 peratus perdagangan dunia.

Ia melibatkan 12 negara - Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, dan dijangka disahkan oleh semua negara pada akhir 2018.

RCEP pula dijangkakan dimuktamadkan menjelang akhir 2017.

Tan berkata negara yang terlibat dalam rundingan RCEP dapat meraih manfaat daripada perjanjian itu walaupun liputannya lebih kecil berbanding TPPA.

Sementara itu, Tan menggesa perusahaan kecil dan sederhana tempatan daripada semua kaum menyertai MCCC sebagai platform untuk menembusi pasaran China.

Beliau berkata dewan itu tidak hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk membantu syarikat Cina, malah syarikat Melayu dan India.

"Matlamatnya sama, iaitu untuk meningkatkan eksport negara dan membawa masuk lebih banyak pendapatan ke dalam negara," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada RCEP.

Beliau berkata kedudukan ekonomi semasa antarabangsa, mendorong dan mengukuhkan keazaman negara RCEP, yang merupakan antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia. - BERNAMA