"Tutup Pintu": PAS Kedah Dicabar Nyatakan Pendirian


ALOR SETAR - PAS Kedah dicabar supaya menyatakan pendirian berhubung ketegasan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membuat keputusan "menutup pintu" terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bersekongkol rapat dengan DAP dan PAN.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, PAS Kedah perlu menyatakan pendirian mereka berhubung penegasan Presiden PAS itu ekoran mereka sebelum ini dilihat berkongsi pentas dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Saya ingin mengulangi cabaran saya kepada PAS Kedah tentang kata dua yang diberikan oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya nak tahu apakah pendirian PAS Kedah?

"Mereka harus mempunyai pendirian sama ada bersetuju ataupun tidak apabila Tun Mahathir melontarkan cabaran ataupun kata dua untuk parti Islam itu.

"Bagi saya, itu merupakan satu penghinaan dan beliau seolah memandang rendah kepada PAS," kata Shaiful Hazizy mencabar PAS Kedah.

Ketua Pemuda UMNO Negeri itu berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan ke rumah bekas Ketua Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Negeri, Hashim Jaafar yang mengalami masalah kesihatan di Kampung Hujung Mergong, di sini, semalam.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok itu, PAS Kedah tidak sewajarnya cuba menangguk di air yang keruh dan perlu membuktikan bahawa mereka adalah sebuah parti yang berprinsip dan patuh pada pendirian PAS di peringkat Pusat.

Katanya, PAS Kedah seolah-olah tiada lagi modal politik untuk dibangkitkan berhubung isu rakyat di negeri ini ekoran telah banyak masalah dapat diselesaikan dengan baik oleh kepimpinan Kerajaan Negeri yang terkini, selain hanya memperalat populariti Mukhriz.

"Apabila seorang pengerusi parti melontarkan cabaran sedemikian, saya nak tahu apa pula reaksi mereka.

"Saya tahu PAS Kedah tidak ada isu yang besar berasaskan rakyat sebab kerajaan BN telah menyelesaikan banyak benda, jadi mereka tak ada modal.

"Saya harap mereka jangan terus menerus menggunakan dan memperalatkan Mukhriz untuk mendapatkan laba politik yang lebih besar,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini membuat keputusan untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan PPBM ekoran parti baru itu bersekongkol rapat dengan DAP dan PAN yang sebelum ini terang-terangan menolak dasar perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam di negara ini.

Tegas beliau, PAS hanya akan bersedia untuk bekerjasama dengan PPBM atau mana-mana parti yang tidak bersekongkol dengan dua parti berkenaan dan sedang mengkaji semula hubungannya dengan PKR. - Kedahnews.com