UMNO Dan PAS Rugi Besar Pada PRU Ke-14 - DAP


KUALA LUMPUR – DAP meminta sekutunya dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak terlalu mengambil berat tentang peranan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kelantan.

Pengarah Pendidikan Politik DAP yang juga Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, PAS sudah semakin hilang kekuatan di mata rakyat Kelantan dan mungkin juga tumbang di negeri itu.

Beliau mendakwa, ramai rakyat Kelantan berhijrah di Lembah Klang, tetapi mereka masih mengundi di kampung halaman mereka dan kebanyakan mereka menyokong Pakatan Harapan.

“Oleh itu, mitos bahawa PAS boleh menjadi penentu politik negara, sebagai satu kuasa ketiga terutamanya kepada Pakatan Harapan akan datang perlu dikaji semula.

“Entah bagaimana kalangan pemerhati politik melihat kekuatan PAS di Kelantan tanpa banyak penelitian mendalam,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Chin Tong berkata, pihak yang akan rugi besar dalam PRU14 jika berlaku pertandingan tiga penjuru adalah UMNO dan PAS.

Ia kerana, kata beliau, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PPBM tidak akan bertanding menentang satu sama lain tetapi membentuk gabungan melawan PAS dan UMNO.

“Dalam pertandingan tiga atau empat penjuru, maka pihak yang bakal rugi besar bukanlah Pakatan Harapan dan PPBM.

“PAS mungkin kehilangan Kelantan manakala UMNO boleh mengucapkan selamat tinggal kepada impian mereka untuk menawan semula negeri itu,” katanya. – Kedahnews.com