Ahmad Bashah sememangnya mempunyai hubungan yang akrab dengan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (Gambar fail) |
ALOR SETAR - UMNO Negeri Kedah memandang positif usaha pucuk pimpinan UMNO dan PAS yang semakin terjalin mesra di peringkat pusat demi kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau dan kepimpinan UMNO di peringkat negeri sedia membantu usaha pucuk pimpinan kedua parti dalam memenuhi tuntutan Islam itu.
"Apa pun, ia bermula dari 'atas'lah. Kita di peringkat negeri pun kita tidak pernah ada perselisihan faham dengan pemimpin-pemimpin PAS di peringkat negeri.
"Cuma dari segi politik tu sikit-sikit, biasalah. Tapi sejak kebelakangan ini kita pun tak pernah buat sesuatu yang boleh merugikan peranan dan kepentingan hubungan baik di antara UMNO dan PAS.
"Kita harap dengan hubungan baik itu, ia dapat memberi kebaikan terutama sekali kepada orang Melayu beragama Islam," katanya kepada Kedahnews.com, mengulas mengenai hubungan UMNO dan PAS yang kian akrab di peringkat pucuk pimpinan sejak akhir-akhir ini.
Biarpun hubungan dan kerjasama yang terjalin itu difahamkan tidak disenangi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan politik, Ahmad Bashah menegaskan bahawa kehendak dan perintah agama itu lebih utama untuk dipenuhi.
Katanya, UMNO dan PAS merupakan dua parti utama di negara ini yang dianggotai oleh bangsa Melayu beragama Islam, dan kerjasama di antara dua parti itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini khususnya umat Islam.
"Kita serah pada pucuk pimpinan. Kita di bawah ini akan membantu suatu kebaikan yang sedang diusahakan di pemimpin di atas, sama ada pemimpin UMNO mahupun pemimpin PAS, supaya kita saling bantu-membantu," ujar beliau.
Jelas beliau, walaupun hubungan di peringkat sekarang ini hanya merupakan hubungan tidak rasmi, namun keakraban di antara pemimpin UMNO dan PAS sememangnya baik dan selalu bertemu antara satu sama lain. -Kedahnews.com