UniMAP Nadi Modal Insan Zon Utara


KUALA LUMPUR - Tahun 2017 merupakan tahun ke-15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi antara pemain utama dalam penyediaan pendidikan tinggi di Malaysia.

Terletak di Arau, universiti yang bermula dengan hanya 116 pelajar pada tahun 2002, berkembang sehingga mempunyai sebuah kampus sementara di Kubang Gajah yang beroperasi pada tahun 2011.

UniMAP bermatlamat untuk melahirkan jurutera berkemahiran tinggi dan kompeten sebagai memenuhi permintaan pasaran dan pada masa yang sama menyokong Pelan Perindustian Negara.

"Penubuhan UniMAP mempunyai visi dan misi yang jelas. Ia ditubuhkan bagi menyokong industri-industri utama di utara Semenanjung Malaysia terutamanya industri-industri elektronik.

Para graduan yang dilahirkan boleh terus menyumbangkan tenaga mereka dalam industri di bahagian utara," kata Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dalam temubual eksklusif bersama Bernama Portal baru-baru ini.

BEKERJASAMA DENGAN INDUSTRI

Sejak awal penubuhannya UniMAP telah menjalinkan kerjasama dengan industri-industri di Malaysia bagi memastikan yang program-program yang mereka tawarkan adalah selari dan relevan dengan apa yang dimahukan oleh industri.

Program akademik yang ia tawarkan turut memfokus kepada pembelajaran praktikal dengan kurikulum yang khas dibentuk namun setara dengan mana-mana program kejuruteraan yang diiktiraf di dalam dan luar negara.

"Sejak hari pertama lagi kami telah bekerjasama dengan industri dalam pembangunan kurikulum yang mana kami telah mengundang para pemain industri ini untuk memberikan kuliah bersama dengan tenaga pengajar untuk bersama-sama membangunkan program, latihan makmal, penyelidikan dan sebagainya," tambah Zul Azhar.

UniMAP menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dan enam program peringkat Diploma yang ditawarkan oleh 11 buah pusat pengajian.

"Program-program yang ada di UniMAP adalah program yang sangat relevan dan diterima baik oleh industri. Apabila mereka menerima mahasiswa UniMAP menyertai syarikat-syarikat, latihan yang perlu diberikan adalah minima," katanya.

PENCAPAIAN

Setelah 15 tahun bertanggungjawab untuk menghasilkan seramai lebih daripada 12,000 graduan yang kompeten lagi kompetitif, UniMAP boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian.

Selain itu, universiti ini juga mempunyai kakitangan yang aktif melakukan penyelidikan dan menyertai pameran-pameran tempatan dan antarabangsa, sekaligus menaikkan lagi nama UniMAP di mata dunia.

"Graduan UniMAP memang diterima baik oleh pihak industri. Boleh dikatakan sebahagian besar para jurutera yang bertugas di syarikat-syarikat besar di zon utara adalah graduan dari UniMAP," tambah Zul Azhar.

Memandangkan UniMAP adalah sebuah universiti teknikal, Zul Azhar mengakui yang tidak dapat tidak mereka perlu sentiasa peka dengan perubahan dan pembaharuan yang berlaku di dalam industri.

Berkaitan dengan perkara ini, kakitangan UniMAP sendiri berterusan menjalankan penyelidikan untuk sentiasa seiring dengan masa dan usaha mereka ini mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.

Antara pencapaian UniMAP pada tahun lalu adalah kemenangan besar semasa Pameran Inovasi Antarabangsa ke-27 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang mana mereka telah memenangi sebanyak tujuh pingat emas, enam pingat perak dan dua pingat gangsa.

Selain itu seorang pensyarahnya dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan, Dr Latifah Munirah Kamarudin Munirah dianugerahkan anugerah tertinggi keseluruhan semasa Istanbul International Inventions Fair melalui inovasinya Unisense: Internet of Things for Multi Sensing.

Menerusi hasil inovasi tersebut, keadaan alam sekitar seperti kualiti udara dan air di ambil menggunakan penderia setiap 15 minit dan dihantar ke pangkalan data untuk pemantauan dan analisis. -BERNAMA