ARAU - Pendakwah terkenal antarabangsa, Dr. Zakir Naik menyuarakan rasa kesal terhadap media antarabangsa yang cenderung melaporkan kononnya Islam merupakan sebuah agama yang mempromosi keganasan di mata dunia.
Tegas beliau, tuduhan melampau itu tidak adalah tidak masuk akal sama sekali dan ia hanyalah sekadar propaganda pihak tertentu yang mahu Islam dilihat sebagai unsur negatif ekoran kebangkitan agama Allah itu di kebanyakan negara maju.
"George Washington contohnya pernah dilabel dengan pengganas nombor satu dunia ketika berseteru dengan Britain, namun dia kemudian menjadi Presiden Amerika yang pertama, pengganas jadi Presiden?
" Nelson Mandela pula dipenjarakan selama 25 tahun dan dia juga dituduh sebagai pengganas kulit hitam, tapi kemudian dia jadi Presiden Afrika Selatan dan kemudian diberi pula anugerah Nobel Keamanan Dunia.
"Sangat menghairankan seorang lelaki yang dilabel sebagai pengganas oleh media antarabangsa dan kemudian diberi anugerah Nobel Keamanan Dunia?," katanya mempertikai sikap sebenar dan ketelusan laporan yang diagung-agungkan segelintir pihak hari ini.
Tegas Dr Zakir, Islam merupakan agama yang suci dan perkataan Islam itu sendiri berasal dari perkataan salam yang bererti "selamat" dan membuktikan agama Allah itu terbina dari semangat yang mementingkan keamanan dunia sejagat.
"Islam adalah agama yang mementingkan keamanan. Perkataan Islam itu sendiri adalah berakar umbi dari perkataan salam yang membawa maksud keamanan," kata Dr Zakir di hadapan lebih 3,000 jemaah yang hadir membanjiri Masjid Negeri, di sini, semalam.
Justeru itu, pendakwah terkemuka itu menasihati umat Islam di Malaysia supaya merapatkan ukhuwah dan persaudaraan sesama sendiri dan tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk memecah-belahkan ummah di negara ini.
Dr Zakir menyarankan agar setiap umat Islam di negara ini supaya membiasakan diri memberi salam kerana ia merupakan doa paling terbaik bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan umat Islam akan terus berada di bawah perlindungan Allah SWT.
"Ucapan salam itu membawa maksud berdoa semoga selamat sejahtera kepada seorang Muslim yang ditemui dan dijawab atas maksud yang sama oleh mereka yang diberi salam atau lebih baik darinya.
"Jika setiap salam yang diucapkan dan dijawab dengan penuh keikhlasan oleh ramai umat Islam di sini, saya yakin seluruh umat Islam di dunia ini berada dalam kesejahteraan serta selamat sepanjang masa," katanya.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan untuk berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri dan baginda diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir menunaikan solat bersama Dr Zakir Naik hari ini ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Mufti Kerajaan Negeri, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan lebih 3,000 orang jemaah. -Kedahnews.com