Walau Berkerusi Roda, Tapi Gigih Jual Nasi Lemak

Asmah dan Mutalib di gerai nasi lemak mereka.
YAN - Meskipun berkerusi roda, seorang suami nekad membantu isterinya menjual nasi lemak di tepi jalan bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Abdul Mutalib Bakar, 44, berkata, dia perlu bergerak dengan menggunakan kerusi roda setelah jari kaki kanannya dipotong akibat penyakit kencing manis.

Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai buruh kasar selama 25 tahun, namun tidak mampu lagi bekerja sejak menghidap penyakit berkenaan.

"Saya mula menghidap penyakit ini pada 2013 sebelum jari kaki saya terpaksa dipotong. Saya sering berasa lemah kerana bacaan kencing manis terlalu tinggi. Pergerakan saya juga perlu dibantu isteri," katanya.

Isterinya, Nor Asmah Mohd Zuki, 44, berkata, suaminya pernah tidak dapat bergerak selama setahun dan dialah yang menguruskan segalanya.

“Ketika itu saya perlu mengendong suami ke bilik air dan sebagainya.

"Saya perlu beri tumpuan kepada suami yang tidak mampu bergerak sendiri. Kalau bacaan kencing manis dia meningkat ke tahap 18 hingga 20, saya perlu dukung dia untuk ke bilik air,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak berusia 11 hingga 19 tahun itu lagi, dia menyara keperluan mereka sekeluarga menggunakan hasil menjual nasi lemak sahaja.

Katanya, pendapatan tidak menentu setiap hari menyebabkan mereka perlu berjimat dalam berbelanja.

“Ada hari kami dapat RM50, ada hari kami dapat sekitar RM70. Anak sulung kami berada di universiti, jadi kos belajar agak tinggi. Tapi alhamdulillah, suami dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 setiap bulan,” katanya.

Tambah Asmah, dia bersama suami dan anak-anak juga terpaksa menumpang hidup di rumah mentuanya kerana tidak mampu menyewa dan membeli rumah sendiri.

Justeru katanya, mereka meletakkan harapan kepada anak-anak untuk mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Kami tidak ada rumah sendiri, alhamdulillah mentua bagi kami menumpang buat sementara waktu.

"Kami berdua hanya mengharapkan anak-anak. Kami harap mereka boleh jaga kami berdua setelah berjaya nanti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian