Wanita Nekad Kejar Peragut Maut Rempuh Tiang Elektrik


BACHOK – Tindakan nekad seorang wanita mengejar penjenayah yang meragut begnya berakhir dengan kematian selepas motosikalnya terlanggar sebatang tiang elektrik di sini semalam.

Dalam kejadian di Kampung Pak Elong, Tangok, Kelantan kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa Siti Rohani Wahab, 54, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang menaiki motosikal seorang diri dari arah Kampung Telong ke Universiti Malaysia Kelantan itu dikatakan dihimpit seorang lelaki yang meragut begnya di dalam raga motosikal.

Difahamkan, mangsa cuba mengejar penjenayah tetapi terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terjatuh.


Harian Metro melaporkan, Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa mengejar suspek yang menaiki motosikal sejauh 800 meter sebelum terlanggar tiang elektrik dan terjatuh.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –Kedahnews.com