Wanita Paling Gemuk Di Dunia Mula Jalani Rawatan

Eman sentiasa terlantar di katil kediamannya berikutan masalah obesiti melampau yang dialaminya. -AFP
MUMBAI - Wanita seberat 500 kilogram (kg) yang dipercayai paling gemuk di dunia buat pertama kalinya keluar dari rumahnya di Mesir selepas 20 tahun untuk menjalani rawatan di sebuah hospital di sini.

Eman Ahmed Abd El Aty tiba di sini hujung minggu lalu dan akan menjalani pembedahan kecemasan bagi mengurangkan berat badannya di Hospital Saifee di sini.

Menurut doktor, wanita berusia 37 tahun itu akan hanya diberi makanan tambahan berbentuk cecair selama 25 hari bagi mengurangkan berat badannya sebanyak 50 kg sebelum dibedah.

“Hanya selepas penyakit yang ada kaitan dengan obesiti dikawal dan berat badan Eman berkurangan baru kami akan melakukan pembedahan,” kata Dr Muffazal Lakdawala.

Menurutnya, pembedahan itu mungkin mengambil masa dua jam setengah dan membantu mengurangkan 150 kilogram lagi berat Eman.

Tambahnya lagi, selepas pembedahan, wanita itu akan menghabiskan masa sehingga lima bulan di hospital itu.

Katanya, Eman akan diawasi pakar dan menjalani fisioterapi untuk bersenam sebelum dibenarkan pulang ke Mesir.

Eman yang berasal dari Iskandariah diterbangkan ke Mumbai pada Sabtu dengan pesawat Airbus yang diubah suai.

Perjalanan Eman ke sini menjadi kenyataan selepas adiknya meminta bantuan Muffazal untuk merawat wanita itu Oktober lalu.

Bagaimanapun, proses perjalanan Eman memakan masa lama kerana masalah visa dan juga tidak ada pesawat yang bersedia membawanya kerana masalah kesihatannya.

Sumber: mStar