PUTRAJAYA – Kira-kira 1,500 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sejak pagi semalam, selepas 50 penerbangan terpaksa ditunda berikutan masalah pengendalian bagasi oleh syarikat pengendali, AeroDarat Services.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali, berkata masalah itu berpunca akibat kekurangan pekerja syarikat pengendali berkenaan, disebabkan isu jadual dan pertukaran syif petugas.
“Banyak petugas tidak hadir bekerja disebabkan isu berkenaan, menyebabkan timbul masalah pengendalian bagasi ini.
“MAHB sedang membantu pihak pengendali dari semua segi bagi menyelesaikan masalah ini dan ia dijangka selesai sepenuhnya hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, MAHB turut menasihatkan penumpang supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing jika berdepan masalah penangguhan penerbangan.
Sebelum ini, beberapa foto viral di media sosial menunjukkan bagasi yang tidak terurus di KLIA yang didakwa berpunca daripada kekurangan pekerja pengurusan bagasi.
Sumber: Berita Harian