1,690 Sangkar Kitar Semula Dipasang Di Kedah, Perlis


ALOR SETAR – Syarikat Environment Idaman (E-Idaman) Sdn. Bhd., yang berperanan menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam, menyasarkan untuk memasang 1,690 sangkar kitar semula bernilai kira-kira RM2.5 juta di taman-taman perumahan di negeri ini dan Perlis tahun ini.

Pengurus Besar Operasi E-Idaman, Azmi Amin Sarji berkata sejak Januari lepas, hanya terdapat 60 sangkar yang setiap satunya bernilai RM1,500 telah siap dipasang di kedua-dua negeri tersebut.

Katanya, baki sangkar sebanyak 1,630 unit lagi akan dipasang secara berperingkat sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat terlibat dalam aktiviti kitar semula barangan buangan mereka terutama di taman-taman perumahan.

“Kita sasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus kadar kitar semula berbanding pada masa kini hanya antara 12 hingga 15 peratus sahaja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tong Kitar Semula di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, semalam.

Majlis itu dilancarkan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar, Hakim Ariff Md Noor sambil disaksikan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Hazahar Hashim.

Tong kitar semula rekaan terbaharu daripada sukarelawan dari Jepun, Kazuya Kanemoto dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) itu adalah yang pertama dipasang di negeri ini.

Ia juga merupakan tong yang boleh dikunci bagi mengelak barangan yang dibuang orang ramai seperti plastik dan kertas dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, selain taman perumahan, pihaknya turut meletakkan sangkar kitar semula di sekolah-sekolah dan dewan orang ramai dan berharap orang ramai dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang amalan kitar semula di kawasan mereka. – BERNAMA