19 Fail Permohonan Isytihar Zakir Naik "Ancaman Kepada Keselamatan Negara"


KUALA LUMPUR - Seramai 19 rakyat Malaysia telah memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir Naik sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Plaintif terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi manusia, ahli perniagaan dan juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan juga pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Mereka yang lain termasuklah aktivis Dr Lim Teck Ghee, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) Sabah dan peguam Siti Zabedah Kassim.

Mereka membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perisytiharan bahawa Dr Zakir adalah satu ancaman kepada ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara.

Mereka juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Dr Zakir adalah ancaman kepada perpaduan negara dan keamanan berbilang kaum di Malaysia.

Dalam dokumen mahkamah, plaintif memohon perintah mahkamah untuk segera membatalkan status Dr Zakir sebagai seorang pemastautin tetap jika ia telah diberikan kepadanya.

Bercakap kepada pemberita di Kompleks Mahkamah di sini pada Rabu, Waytha, yang juga seorang peguam, berkata beliau telah mengesahkan afidavit mengenai hasrat mereka untuk memfailkan tindakan itu dengan berkata alasan utama mereka adalah isu keselamatan negara.

"Kami percaya bahawa dia masih di sini dan telah diberikan status pemastautin tetap di Malaysia," kata Waytha, sambil menambah pihak berkuasa tidak memberi respons terhadap surat mereka yang bertanyakan tentang status dan di mana Dr Zakir berada.

Saman pemula difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam mereka S. Karthigesan.

Plaintif memohon kepada mahkamah untuk segera mengusir Dr Zakir dan untuk mendapat satu perintah sekatan bagi menghalang beliau daripada memasuki Malaysia sebagai pelancong atau melalui apa-apa cara lain.

Mereka mahu perintah mahkamah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menangkap Dr Zakir serta-merta.

Antara lain, mereka dalam alasan yang diberikan menyatakan bahawa Dr Zakir adalah orang yang berbahaya yang boleh menjejaskan perpaduan negara, toleransi dan hubungan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Plaintif menamakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Jabatan Ketua Pengarah Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Salah seorang plaintif, Asiah Abd Jalil, berkata beliau sebagai orang Islam bimbang dengan ceramah Dr Zakir, sambil menambah Islam tidak mengajar seseorang untuk memperkecilkan budaya dan agama orang lain.

Peguam Siti Zabedah berkata tindakan memfailkan permohonan bagi menegakkan ajaran Islam.

Sumber: mStar