2 Anak Labuan Jejak Kaki Di Annapurna Base Camp, Nepal


LABUAN – Dua penduduk Labuan mencapai kejayaan tersendiri apabila menjadi pendaki pertama pulau bebas cukai itu menjejak kaki ke Annapurna Base Camp (ABC) yang terletak pada ketinggian 4,130 meter di Nepal.

Floreta Mojikon, 46, dan Akhbar Khan, 34, menjejak kaki ke kem itu dalam keadaan ribut salji pada 1 Mac lepas bersama 28 pendaki lain yang memulakan pendakian dari Kathmandu ke Pohkara pada 26 Februari.

Kem itu terletak di pertengahan laluan ke Gunung Annapurna yang juga gunung ke-10 tertinggi dunia pada ketinggian 8,000m.

Kedua-dua petugas Perbadanan Labuan itu yang telah beberapa kali mendaki Gunung Kinabalu menyertai ekspedisi Now Explores Sdn Bhd yang turut disertai pendaki dari Singapura dan Filipina.

Anggota Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata semangat tinggi yang ditunjukkan kedua-dua pendaki itu mampu memberi inspirasi kepada golongan belia di pulau tersebut.

“Floreta dan Akhbar bukan hanya membanggakan pulau ini tetapi juga Wilayah Persekutuan kerana mereka adalah kakitangan Perbadanan Labuan,” katanya kepada Bernama semalam.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kedua-dua pendaki itu bagi meringankan beban kewangan mereka yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai ekspedisi berkenaan.

Selepas ini, Floreta dan Akhbar menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Everest Base Camp (EBC).

“Pendakian kami diadakan pada musim hujan dengan salji berlaku di kawasan pergunungan Himalaya. Kami berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan laluan yang basah.

“Kami kerap terpaksa menyesuaikan pernafasan serta melakukan koordinasi yang betul pada tubuh kami, selain perlu berhati-hati dengan setiap langkah,” kata Akhbar kepada media tempatan menerusi perbualan yang dirakam menerusi panggilan telefon.

Mereka bersama pendaki yang lain mengakhiri ekspedisi mereka hari ini dan dijangka tiba di Labuan pada 10 Mac ini. – BERNAMA