2 Suspek "Geng Kenduri" Ditahan Kurang 24 Jam


YAN – Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah kereta di sekitar kawasan Yan semalam telah ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam dari waktu kejadian.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim berkata kedua-dua suspek ‘Geng Kenduri’ itu ditahan dalam dua tangkapan di dua lokasi di sini.

“Suspek pertama berumur 34 tahun, ditangkap pada pukul 8.15 malam tadi di Flat Paya Nahu, Taman Ria Jaya.

“Tidak lama selepas itu suspek kedua berumur 48 tahun ditahan di hadapan sebuah kedai nasi kandar di Taman Seruling, Jalan Bakar Sampah pada pukul 9.30 malam.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine, dan masing-masing mempunyai enam dan tujuh rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk satu tablet jenama Samsung dipercayai milik seorang mangsa dan lastik yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta dan kopiah.

“Kedua-dua suspek yang dibebaskan dari penjara kira-kira sebulan lalu atas kesalahan dadah, akan direman selama empat hari sehingga 24 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA