25 Hingga 30 Peratus Doktor Pelatih Gagal Tamat Latihan


KUALA LUMPUR - Hampir 25 hingga 30 peratus doktor pelatih gagal menyempurnakan latihan perubatan dalam tempoh yang ditetapkan kerana tidak begitu kompeten, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Selasa. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata situasi ini menyumbang kepada masalah penempatan doktor pelatih yang baharu berikutan doktor pelatih sedia ada terpaksa menyambung tempoh latihan mereka.

Katanya terdapat sekitar 5,000 graduan perubatan baharu setiap tahun yang memerlukan mereka menjalani latihan perubatan.

"Diakui masalah 'houseman' ini memang 'perpetual' (berterusan)...disebabkan tidak kompeten, mereka terpaksa menyambung lagi tempoh latihan dan ramai graduan yang tidak dapat menjalani latihan perubatan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) semasa sesi soal jawab pada Selasa. 

Izani ingin tahu mengenai perancangan kementerian bagi mencukupkan bilangan hospital kerajaan sedia ada dan bilangan hospital latihan.

Dr Hilmi berkata pada masa ini terdapat 44 hospital latihan, termasuk hospital kerajaan dan hospital universiti.

"Kementerian akan tambah lagi hospital latihan...di Hospital Shah Alam dan hospital tentera kita mahu tambah dan pihak hospital universiti telah bersetuju untuk tambah slot doktor pelatih supaya mereka dapat mempercepatkan 'posting 'doktor pelatih," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal daripada Datuk Sapawi Ahmad (BN-Sipitang) mengenai tahap kesihatan di Malaysia mengikut piawaian antarabangsa, Dr Hilmi berkata pada 5 Jan lepas, majalah International Livingdalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2017 menamakan Malaysia sebagai negarayang mempunyai sistem kesihatan terbaik di dunia berbanding 24 negara lain.

"Ini merupakan penghormatan yang diterima Malaysia selama tiga tahun berturut-turut, dan kaji selidik Bloomberg pada 2014 juga meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara di dunia yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan paling cekap," katanya.  -Bernama