300 Unit Semi-D Nelayan Tanjung Dawai: "Siapa Yang Layak, Dia Akan Dapat"


TANJUNG DAWAI - Para nelayan yang merasakan dirinya layak untuk memohon bantuan rumah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai masih boleh mengemukakan permohonan masing-masing.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sebanyak 50 peratus dari rumah berkenaan telah dikenal pasti pemilihnya, manakala bakinya masih lagi dalam peringkat penelitian LKIM untuk diberikan kepada nelayan yang layak.

"Boleh, baki yang belum terisi tu boleh buat permohonan.

"Sekarang pun sudah ada 500 hingga 600 pemohon. Tapi kita akan beri kepada nelayan yang layak sahaja. Siapa yang layak, dia akan dapat.

"InsyaAllah, sebelum Ramadhan nanti kita akan adakan majlis penyerahan kunci rumah rakyat ni kepada 300 keluarga nelayan di sini," kata beliau kepada Kedahnews.com selepas Majlis Penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan Kawasan Tanjung Dawai di sini, petang semalam.


Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyerahkan Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM240,350 kepada 843 nelayan kawasan Tanjung Dawai.

Mengulas lanjut mengenai PSN Tanjung Dawai, Menteri Besar Kedah itu menjelaskan bahawa ia mengandungi sebanyak 300 unit rumah yang kini siap sepenuhnya dan dijangka boleh didiami menjelang Mei ini.

Beliau berkata, projek yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012 itu akan membolehkan keluarga nelayan di kawasan terbabit menikmati kualiti hidup yang lebih baik berbanding sebelumnya.





"Walaupun sebelum ini berlaku kelewatan dari segi teknikal namun semuanya sudah diatasi dan kita jangkakan penyerahan kunci akan dibuat sebelum bulan Ramadan oleh Perdana Menteri.

"Setakat ini, 50 peratus daripada unit terbabit sudah mempunyai pemilik manakala selebihnya masih dalam proses tapisan (permohonan)," jelas beliau.


Ahmad Bashah berkata, selain pembinaan rumah berkembar satu tingkat (semi-D) tiga bilik dan dua bilik air itu, projek tersebut turut dilengkapi empat unit kedai, sebuah surau, sebuah dewan, sebuah tadika, gelanggang futsal dan taman permainan.

"Kos pembinaan projek ini dianggarkan sebanyak RM48 juta, tidak termasuk proses pengambilalihan tanah.


"Bagaimanapun nelayan yang terpilih menduduki rumah ini hanya perlu membayar tidak sampai RM150 sebulan kerana kos selebihnya ditanggung kerajaan menerusi subsidi," ujar beliau kepada media yang hadir di majlis berkenaan.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Exco Kerajaan Negeri yang juga merupakan Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md Zain, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Norizan Khazali, pegawai-pegawai kerajaan dan jawatankuasa persatuan nelayan.


Selain itu, turut hadir sama adalah para nelayan di sekitar Tanjung Dawai yang teruja dengan keprihatinan kerajaan negeri dan Ahmad Bashah yang sanggup hadir meringankan beban masyarakat nelayan di sini. -Kedahnews.com