42 Pelajar SMK Pondok Upeh Di Balik Pulau Keracunan Makanan


BALIK PULAU – Seramai 42 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, di sini mengalami sakit perut dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan.

Tiga puluh dua pelajar perempuan dan 10 pelajar lelaki berusia antara 13 dan 17 tahun itu dilapor mengalami cirit-birit, muntah, loya dan pening selepas makan kari ayam di kantin asrama sekolah itu, pada 6.30 petang kelmarin.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang melawat pelajar-pelajar itu yang menerima rawatan di Hospital Balik Pulau berkata kesemua mereka dilapor dalam keadaan stabil.

“Pelajar-pelajar itu memberitahu mereka makan kari ayam semalam dan mula mengalami ciri-birit, muntah, loya dan pening sejak pukul 9 malam tadi dan berlarutan hingga pagi ini (semalam).

“Pihak sekolah membawa semua pelajar terlibat ke hospital awal pagi ini selepas melihat keadaan mereka semakin lemah,” katanya di sini semalam.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan siasatan di dapur asrama berkenaan dan mengambil beberapa sampel makanan antaranya ayam serta peralatan seperti papan pemotong, periuk yang digunakan untuk memasak ayam dan pisau pemotong ayam.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan premis dapur asrama itu ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Saya juga meminta pihak Jabatan Pelajaran Negeri mengambil tindakan segera dengan membuat pemeriksaan secara berkala di kantin sekolah dan kantin asrama sekolah bagi memastikan pengusahanya menjaga kebersihan,” katanya. – BERNAMA